Ciri 'Buckle to Drive' ajar pemandu yang degil memakai tali pinggang keledar

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Memandangkan ramai yang tidak begitu menggemarkan pemakaian tali pinggang keledar (termasuklah pemilik MPV bentang tilam di belakang), terdapat beberapa cara yang diambil oleh pengeluar dalam usaha untuk 'mengajar' golongan tersebut. 

Sebagai contoh, terdapat beberapa kenderaan moden yang tidak boleh dipandu pergi apabila pemandu tidak memasang tali pinggang keledar, walaupun gear sudah berada di posisi D. 

Tekanlah pedal minyak sekuat mana pun, selagi ciri keselamatan tersebut tidak diendahkan, kereta tidak akan bergerak walau seinci pun. 

Salah satu cara yang berkesan ialah 'Buckle to Drive' ke dalam sistem Teen Driver yang diperkenalkan oleh Chevrolet, dikhususkan kepada para pemandu yang muda remaja. 
 


Menerusi mod ini, pemandu yang tidak memakai tali pinggang keledar akan dihalang daripada menukar gear P ke D dalam masa 20 saat, dan disekalikan dengan amaran berbentuk notifikasi bunyi. 

Amaran tersebut juga akan tertera di paparan multi-info di hadapan bagi memperingatkan kepada pemandu supaya memakai dahulu tali pinggang keledar sebelum memandu. 

Sistem Teen Driver ini sebenarnya telah lama diperkenalkan sejak tahun 2015, membenarkan ibu bapa mendaftarkan key fob berasingan untuk digunakan oleh anak-anak. 

Sudah tentu, key fob ini akan dihadkan fungsinya sebagai contoh, kadar kelantangan bunyi radio akan dipadamkan sehingga pemandu dan penumpang hadapan memasang tali pinggang keledar masing-masing. 

Cara yang baik untuk mengajar mereka, bukan?

 


Selain itu, ibu bapa juga boleh menetapkan kelajuan maksimum kepada 137 km/j selain menetapkan amaran berbentuk visual dan bunyi apabila kenderaan itu dipandu melebihi kelajuan tertentu. 

Dan apabila anak-anak mereka pulang ke rumah, ibu bapa boleh mengakses laporan terperinci pemanduan mereka, daripada kelajuan tertinggi sehinggalah kepada berapa kali sistem keselamatan seperti ABS, kawalan cengkaman dan kestabilan diaktifkan.