Kerjasama ini dimeterai dalam satu majlis rasmi yang turut disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh. Dalam ucapannya, beliau memuji inisiatif CIMB yang menyokong atlet dalam sukan bukan tradisional seperti permotoran satu cabang sukan yang semakin mendapat tempat di kalangan belia dan mempunyai potensi besar untuk Malaysia bersinar di peringkat antarabangsa.
Amer Harris kini merupakan satu-satunya pelumba Malaysia yang menyertai Porsche Carrera Cup Asia Talent Pool bagi musim 2025. Beliau mula menceburi dunia perlumbaan sejak kecil menerusi go-kart, dan telah mencatatkan lebih 18 kemenangan serta merangkul tiga kejuaraan Go Kart Asia. Selain itu, Amer juga pernah menjuarai beberapa perlumbaan utama seperti Sepang 1,000KM, Toyota Gazoo Racing Malaysia, Formula 4 SEA dan Thailand Super Series.
Pencapaian paling menonjol beliau baru-baru ini adalah kejayaan menjuarai Hyundai N Cup di Zhuhai, China sebuah kemenangan yang turut mendapat perhatian dan pengiktirafan daripada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia, Gurdip Singh Sidhu, Amer Harris mencerminkan nilai-nilai penting dalam kempen ‘Kita Bagi Jadi’ seperti semangat daya tahan, dedikasi dan kecemerlangan. Beliau percaya penyertaan Amer sebagai rakan jenama akan memberi inspirasi kepada generasi muda serantau untuk terus mengejar impian mereka.
Amer menyatakan rasa bangga dan rendah diri atas peluang yang diberikan, serta berikrar untuk terus berusaha mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Beliau akan beraksi dalam pusingan Porsche Carrera Cup Asia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang dari 6 hingga 8 Jun ini. Sebelum ini, beliau telah berlumba dalam siri tersebut di Jepun dan Shanghai dengan pencapaian podium yang membanggakan.
Kerjasama antara CIMB dan Amer Harris bukan sahaja memberi sokongan kewangan, malah turut menjadi bukti bahawa sinergi antara sektor korporat dan sukan mampu mencetus impak positif terhadap pembangunan bakat tempatan.