Chevrolet Bolt 2022, crossover Bolt EUV 2022 dilancarkan secara rasmi

oleh Mohamad Hanif|
Kereta elektrik Chevrolet Bolt telah pun mula memaasuki pasaran semenjak lewat tahun 2016 dan telah berjaya mencatatkan angka jualan melebihi 100,000 unit di peringkat global.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Lebih menarik, 75 peratus daripada pembeli EV itu merupakan golongan pertama kali membeli kenderaan berjenama GM itu.

Lima tahun kemudian, Chevrolet telah pun mendatangkan versi facelift bagi menjadikan penawaran EV tersebut lebih malar segar, serta sebuah versi crossover bagi memenuhi keperluan pelanggan semasa.
 

Chevrolet Bolt 2022


Ini merupakan varian aras mula yang ditawarkan oleh Chevrolet, menampilkan front fascia yang lebih agresif berbanding model terdahulu, rekaan lampu nyalaan siang LED yang lebih tajam yang disekalikan dengan lampu membelok, sementara unit lampu utama diposisikan di bahagian bawah.

Bahagian atas gril berbentuk heksagon itu kini dilayangkan warna badan berbanding penggunaan plastik hitam yang terdapat pada model terdahulu.

 


Sementara bahagian dalaman pula menampilkan skrin kluster digital penuh bersaiz 10.2 inci, manakala skrin tengah pula kini mendapat antaramuka yang lebih kemas dan menyokong sambungan kepada Apple CarPlay, Android Auto, sambungan 4G LTE Wi-Fi, dan slot pengecasan nirwayar.

Tempat duduk Chevrolet Bolt 2022 ini mendapat balutan kulit palsu berkualiti tinggi, dihiasi dengan jahitan kontras, sementara konsol tengah pula menampilkan butang pilihan pandu baharu (tiada tuil gear) dan butang fungsi tambahan pemanduan pedal tunggal.

 


Dari segi trenkuasa, tiada sebarang perubahan dilakukan, dan masih lagi menampilkan unit asal yang terdiri daripada motor elektrik berkuasa 200 hp dan 360 Nm, serta pek bateri 65.0 kWh yang menawarkan jarak operasi sejauh 417 km.

Namun, Chevrolet telah menambah sistem pengecasan pantas DC yang membolehkan pemandu menambah jarak sejauh 161 km dalam masa 30 minit sahaja, serta opsyen kabel baharu dengan plug yang boleh ditukar untuk pengecasan 120 Voltan dan 240 Voltan.


Chevrolet Bolt EUV 2022


Ini merupakan varian baharu yang diperkenalkan oleh Chevrolet, dan secara kasarnya Electric Utility Vehicle (EUV) ini memiliki dimensi yang lebih besar berbanding Bolt EV.

Walaupun rupa yang serupa, Chevrolet Bolt EUV memiliki dimensi sepanjang 4,326 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,615 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,675 mm berbanding Bolt EV 2022 (4,166 mm x 1,765 mm x 1,595 mm, jarak antara roda 2,601 mm).

 


Penambahan dimensi itu diterjemahkan kepada ruang penumpang baris kedua yang sedikit besar, di mana ruang kaki bertambah kepada 993 mm (914 mm pada Bolt EV).

Pun begitu, kedua-dua varian ini dikatakan hampir sama dari segi ruang kargo (1,614 liter) serta ruang penumpang yang ditawarkan.

 


Aspek mekanikal juga masih lagi sama seperti Bolt EV 2022, namun disebabkan perbezaan saiz, Bolt EUV mampu mencapai jarak operasi sejauh 402 km, sedikit kurang berbanding Bolt EV itu tadi.

Dari segi keselamatan, kedua-dua EV dan EUV datang standard dengan ciri Chevrolet Safety Assist yang merangkumi:

  • brek kecemasan automatik
  • amaran pelanggaran hadapan
  • bantuan kekal laluan dengan amaran keluar laluan
  • pengesan pejalan kaki hadapan

Sementara Chevrolet Bolt EUV pula merupakan model Chevrolet pertama (dan model EV pertama) yang mendapat ciri tambahan sistem pemanduan semi-autonomi Super Cruise yang membenarkan pemanduan tanpa tangan di sepanjang 200,000 km jaringan jalan raya di Amerika Syarikat dan Kanada.

 


Harga jualan Chevrolet Bolt EV 2022 bermula dari $31,995 (RM129,196), lebih mahal $4,505 berbanding model terdahulu, sementara model Bolt EUV 2022 pula berharga $33,995 (RM137,272) untuk varian biasa, atau $43,495 (RM175,633) untuk versi Launch Edition.

Chevrolet Bolt EUV 2022 Launch Edition pula mendapat kelengkapan standard seperti Super Cruise, bumbung suria, roda aloi spesifik, lencana khas dan port pengecasan beriluminasi.

 

Berita Berkenaan

Informasi
Malah pembayaran juga perlu dilengkapkan menerusi aplikasi Hello Smart App, dan bukan menggunakan…
Berita Global
Lebih 2,000 orang pekerja terjejas kesan daripada penutupan projek tersebut, namun menurut laman…
Telah Diuji
Di Malaysia, pengedaran dan penjualan kereta elektrik smart dikendalikan oleh Pro-Net, sebuah anak…