Kedua-duanya dibangunkan berasaskan platform Chery Super Hybrid (CSH), yang menggabungkan enjin 1.5L TGDi generasi kelima, sistem transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 18.3kWh.
Kedua-dua model PHEV ini menawarkan kuasa gabungan 279 PS dan 365 Nm tork, dengan jarak pemanduan sehingga 1,200km untuk sekali isian penuh dan pengecasan bateri.
Bateri LFP yang digunakan membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 90km, sesuai untuk kegunaan harian bandar tanpa pelepasan asap ekzos.
Untuk kemudahan pengecasan, sistem DC fast charging (40kW) mampu mengisi dari 30% hingga 80% dalam masa hanya 19 minit, manakala pengecasan AC (6.6kW) mengambil masa sekitar 3 jam.
Jika menggunakan pengecas 3-pin biasa, bateri boleh dicas penuh semalaman dalam masa 8.5 jam.
Dari segi rekaan, TIGGO 7 PHEV tampil dengan gril hadapan corak diamond menegak bersama rim 18 inci, manakala TIGGO 8 PHEV menawarkan imej lebih elegan dengan gril premium, lampu logo iluminasi di hadapan serta rim 19 inci.
Bahagian dalaman pula dilengkapi teknologi infotainment moden. TIGGO 7 PHEV menampilkan paparan skrin 24.6 inci bersepadu, manakala TIGGO 8 PHEV hadir dengan skrin utama 15.6 inci serta kluster digital 10.25 inci.
Kedua-duanya dipacu oleh cipset Qualcomm Snapdragon 8155, menjamin pengalaman yang pantas dan bebas lag.
Kelengkapan lain termasuk sistem bunyi premium SONY, pencahayaan ambien 64 warna, kerusi ventilated, serta pendingin hawa dwi-zon.
Menariknya, TIGGO 8 PHEV menawarkan konfigurasi tempat duduk tiga baris, menjadikannya pilihan sesuai untuk keluarga besar.
Seperti model global Chery yang lain, aspek keselamatan diberikan penekanan tinggi. Kedua-dua SUV ini hadir dengan sistem Advanced Driver Assistance System (ADAS 2.0) yang merangkumi fungsi seperti Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, Lane Keeping Assist, Blind Spot Detection, Rear Cross Traffic Alert dan banyak lagi.
Tambahan pula, Guardian Battery Safety System yang dibangunkan khas memastikan bateri selamat digunakan dalam semua keadaan.
Ia kalis air dan debu pada tahap IP68, mampu bertahan suhu ekstrem, malah menyokong kedalaman redaman air sehingga 500mm, sesuai untuk situasi banjir yang sering berlaku di Malaysia.
Untuk pasaran tempatan, kedua-dua model datang dengan waranti 7 tahun atau 150,000km, manakala komponen utama seperti bateri, motor dan unit kawalan hibrid dilindungi sehingga 8 tahun atau 160,000km. Turut disertakan 5 tahun servis buruh percuma bagi enam kali servis berjadual
Chery Auto Malaysia menetapkan harga yang kompetitif bagi kedua-dua model seperti berikut;
- TIGGO 7 PHEV – bermula dari RM129,800
- TIGGO 8 PHEV – bermula dari RM159,800
Selain itu, plihan warna yang ditawarkan adalah; Phantom Grey, Khaki White, dan Bloodstone Red dengan bumbung hitam untuk TIGGO 7 PHEV, manakala Aurora Green, Khaki White, dan Carbon Black ditawarkan bagi TIGGO 8 PHEV.