Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP)
Dalam kategori perlindungan penumpang dewasa, Tiggo 7 PHEV memperoleh skor penuh 32.00 daripada maksimum 32 mata. Ujian perlanggaran hadapan menunjukkan struktur ruang penumpang kekal stabil, dengan perlindungan yang baik kepada pemandu dan penumpang hadapan. Ujian impak sisi serta Head Protection Technology turut mencatat skor maksimum tanpa sebarang penalti.

Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP)
Bagi perlindungan penumpang kanak-kanak, Tiggo 7 PHEV merekodkan 43.81 daripada 51 mata. Ujian dinamik melibatkan kanak-kanak berusia 18 bulan dan 3 tahun menunjukkan prestasi perlindungan yang kukuh, khususnya apabila menggunakan kerusi kanak-kanak ISOFIX dalam konfigurasi menghadap ke belakang. Sistem Child Presence Detection turut menyumbang mata tambahan dalam kategori ini.

Sistem Bantuan Keselamatan (Safety Assist)
Tiggo 7 PHEV mencatat skor penuh 21.00 daripada 21 mata bagi kategori Safety Assist. Antara sistem keselamatan yang ditawarkan sebagai standard termasuk Autonomous Emergency Braking City dan Inter-Urban, Anti-lock Braking System, Electronic Stability Control, Seatbelt Reminder System untuk penumpang hadapan dan belakang, Rear Seat Occupant Detection, Lane Departure Warning, Forward Collision Warning serta Lane Keep Assist. ASEAN NCAP mengesahkan semua sistem ini berfungsi mengikut keperluan protokol semasa.

Keselamatan Pengguna Jalan Raya dan Penunggang Motosikal
Dalam kategori keselamatan pengguna jalan raya dan penunggang motosikal, Tiggo 7 PHEV memperoleh 14.00 daripada 16 mata. Model ini dilengkapi Blind Spot Detection di kedua-dua sisi, Auto High Beam, Pedestrian Protection serta AEB untuk motosikal sebagai ciri standard, satu pakej keselamatan yang agak menyeluruh untuk kelas SUV PHEV.

Spesifikasi Ringkas Varian Diuji
Varian yang diuji ialah Model Year 2025, menggunakan enjin 1.5 liter turbo PHEV dengan berat kerb 1,795 kg. Ia turut hadir dengan 8 beg udara termasuk beg udara tengah, memberikan kelebihan dari sudut keselamatan berbanding kebanyakan pesaing segmen sama.

Rumusan Keputusan ASEAN NCAP
Berdasarkan laporan rasmi ASEAN NCAP, Chery Tiggo 7 PHEV menunjukkan prestasi yang sangat konsisten dalam semua kategori penilaian utama dan layak dianugerahkan penarafan 5-bintang penuh dengan skor keseluruhan 94.68 mata.
Sumber: Laporan rasmi ASEAN NCAP – Chery Tiggo 7 PHEV (Disember 2025)