Taman perindustrian automotif pintar itu dibangunkan di atas kawasan seluas 80.9 hektar dengan nilai pelaburan RM2.2 bilion dan dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan operasi Chery di Malaysia serta rantau ASEAN.
Projek berkenaan mula diumumkan pada Februari tahun lalu menerusi majlis pecah tanah yang menandakan pelaburan strategik Chery di Beringin High-Tech Auto Valley (Beringin HTA Valley) di Hulu Selangor.
Ketika diumumkan, pelaburan RM2.2 bilion itu disifatkan sebagai antara pemangkin penting dalam memperkukuhkan ekosistem perindustrian Selangor serta mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab pelaburan serantau.
Momentum pertumbuhan syarikat di Malaysia terus dipacu oleh permintaan kukuh terhadap portfolio pelbagai jenamanya yang merangkumi Chery, OMODA JAECOO, iCAUR serta jenama baharu, Lepas yang bakal diperkenalkan.
Perkembangan itu mencerminkan peningkatan keyakinan pengguna dan pengiktirafan terhadap jenama-jenama di bawah kumpulan berkenaan.
Apabila siap kelak, kemudahan itu dijangka meningkatkan keupayaan Chery dalam aspek pemasangan kenderaan, inovasi serta penghantaran kepada pelanggan, selain menyokong strategi pelbagai jenama yang sedang dilaksanakan syarikat berkenaan.
Pengarah Kanan Strategi Produk dan Jualan Armada Chery Corporate Malaysia, Michael Chew, berkata majlis 'topping-out' itu adalah satu pencapaian penting buat Chery di Malaysia.
"Majlis 'topping-out' ini menandakan satu pencapaian penting bagi Chery di Malaysia. Ia bukan sahaja mencerminkan kemajuan projek ini, malah menunjukkan keyakinan kukuh kami terhadap pasaran Malaysia dan potensinya sebagai hab serantau," katanya.
Majlis disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bersama Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, yang turut menyaksikan pemasangan simbolik jubin bumbung terakhir bersama barisan pengurusan Chery.
Dalam sidang media, Amirudin berkata, dengan siapnya Fasa 1 projek berkenaan, kira-kira 2,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan menjelang operasi kilang itu bermula.
"Dengan lengkapnya fasa pertama nanti, dijangkakan sekitar 2,000 pekerja akan dapat mencari rezeki ataupun bekerja bagi pihak Chery di sini dan pada fasa seterusnya keseluruhan akan ada sekitar 5,000 peluang pekerjaan yang akan diwujudkan," katanya.
Beliau berkata, peluang pekerjaan itu dijangka bertambah apabila vendor dan pembekal yang bakal beroperasi dalam kawasan pembangunan berkenaan mula menempatkan operasi masing-masing.
"Saya rasa lebih daripada 5,000, mungkin 7,000 hingga 8,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan melalui pelaburan bernilai lebih RM2 bilion yang dibuat oleh Chery," katanya.
Beliau berkata, pelaburan itu turut mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai pusat pembuatan automotif negara yang kini menempatkan beberapa pengeluar utama termasuk Perusahaan Otomobol Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dan Tan Chong Motor.
Katanya, kehadiran Chery di Lembah Beringin juga membuka ruang kepada lebih banyak syarikat automotif antarabangsa untuk melabur di negeri itu.
"Dengan adanya pembangunan ini, ia membuka peluang kepada syarikat-syarikat pembuatan automotif yang lain untuk datang dan sebab itu kita akan cuba melihat apakah sokongan-sokongan lain yang wajar dibuat oleh kerajaan supaya Selangor boleh berkembang menjadi sebuah 'automotive city' dan pusat pembangunan kenderaan untuk dalam dan luar negara," katanya.