Bagaimanapun, Chery tidak terlepas daripada menerima komen negatif ketika permulaan pengenalannya ke pasaran Malaysia sekitar pertengahan 2023.
Sebaliknya, jenama itu mengutamakan penyelesaian isu pelanggan dan memberi jaminan bahawa komitmen menjadi keutamaan bagi Chery untuk 2024, selain menekankan dedikasi jenama ini terhadap penambahbaikan berterusan dan kepuasan pelanggan.
Pengarah Pembangunan Rangkaian Chery Auto Malaysia, Soon Boon Ping, berkata Chery kini mempunyai 550 kakitangan di 32 cawangan yang beroperasi di seluruh Malaysia dan berhasrat untuk menambahnya bagi menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih baik untuk pengguna.
"Pada akhir tahun 2024 ini, kami berharap untuk mempunyai sekurang-kurangnya 48 cawangan yang beroperasi dan ini juga akan menyumbang kepada peningkatan 70 peratus dalam pusat 3S dan 4S kami.
"Langkah strategik ini bertujuan untuk meningkatkan aksesibiliti kepada pelanggan dan memperkuatkan lagi kehadiran Chery di pasaran Malaysia," katanya ketika Taklimat Perniagaan Tahunan Chery yang diadakan di sini, baru-baru ini.
Boon Ping berkata, Chery menumpukan pengembangan geografi melalui perkongsian strategik, skalabiliti, dan perlindungan masa depan.
Komitmen untuk melabur secara signifikan dalam latihan dan pembangunan kemahiran juga penting buat pasukan jualan dan selepas jualan bagi menonjolkan dedikasi jenama ini terhadap penambahbaikan berterusan dan kecemerlangan.
"Pengembangan ini menandakan komitmen Chery Auto Malaysia untuk memberikan kenderaan inovatif dan berkualiti tinggi yang juga memenuhi keperluan pelbagai pengguna Malaysia.
"Dengan adanya lebih banyak cawangan dan kolaborasi yang akan datang, ini akan menjadikan satu platform untuk mempamerkan model terkini Chery, teknologi terkini, dan perkhidmatan pelanggan yang terbaik," katanya.
Boon Ping berkata, langkah strategik ini bertujuan untuk meningkatkan aksesibiliti kepada pelanggan dan membina kehadiran Chery di seluruh negara.
"Pengembangan ini tidak hanya menandakan komitmen Chery Malaysia dalam menyampaikan kenderaan yang inovatif, tetapi juga berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan para pemandu di Malaysia," katanya.
Sementara itu, Pengarah Produk Chery Auto Malaysia, Michael Chew berkongsi Chery akan melancarkan Omoda E5 pada suku pertama tahun ini dan Tiggo 7 Pro pada suku kedua 2024.
"Pada suku keempat, Chery dijangka akan memperkenalkan model baharu yang belum dikongsikan lagi dengan harga yang lebih kompetitif dan mampu milik," katanya.