
Dibina atas platform kompak, QQ Domi berukuran 3720 mm panjang, 1700 mm lebar, dan 1608 mm tinggi, dengan jarak roda sejauh 2520 mm. Reka bentuknya tampil muda dengan garisan bulat, lampu utama LED dengan kanta, gril bawah trapezoid, pemegang pintu tersembunyi, dan tiang-C berwarna hitam bagi memberi ilusi ‘floating roof’. Reka bentuk belakang pula menyerupai bahagian depan, disempurnakan dengan trim hitam yang menyambung lampu belakang. Pilihan warna luaran termasuk putih salji, biru langit, perak meteor dan merah jambu.

Bahagian dalaman pula direka dengan gaya menyeluruh yang memfokuskan kepada teknologi praktikal. Dua tema warna ditawarkan: hitam-kelabu dan merah jambu-kelabu. Ciri utama termasuk panel instrumen digital 7 inci, skrin sentuh tengah bersaiz 10.25 inci, pengecaman suara, akses tanpa kunci dan kawalan kereta melalui aplikasi, serta tempat duduk belakang boleh lipat 40:60. Tuil gear dipasang pada tiang stereng, membolehkan ruang konsol tengah dikosongkan. Tempat duduk hadapan direka gaya sehelai (single-piece), manakala bahagian belakang dioptimumkan untuk ruang.

Kesemua varian QQ Domi dilengkapi motor depan 40 kW yang menghasilkan tork 110 Nm dan kelajuan maksimum 100 km/j. Terdapat dua pilihan bateri LFP iaitu 28.5 kWh dan 39.33 kWh, yang menawarkan jarak pemanduan 305 km dan 405 km mengikut CLTC. Kedua-dua versi menyokong pengecasan pantas, di mana cas dari 30% ke 80% hanya mengambil masa sekitar 30 minit. Versi jarak 405 km turut dilengkapi fungsi VTOL (vehicle-to-load) untuk membekalkan kuasa kepada peranti luaran.
QQ Domi akan bersaing dalam segmen EV kompak yang semakin sengit, menentang model seperti BYD Seagull (69,800 yuan / RM45,500) dan Leapmotor T03 (59,900 yuan / RM39,000). Dengan reka bentuk bergaya, ciri praktikal dan daya tarikan mesra anak muda, Chery berharap dapat memperkukuh kedudukan dalam pasaran EV kecil China yang pesat berkembang.