Chery O5 kini rasmi, nama lain Omoda 5 - dari RM116,800

oleh Firdaus Razani|
Setelah lebih dua tahun berada di pasaran Malaysia, Chery Auto Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model versi facelift terbaharu SUV terkininya, Omoda 5 yang kini turut menerima nama baharu iaitu Chery O5.

Di pasaran Malaysia, Chery Auto Malaysia juga telah menghantar lebih 13,000 unit Omoda 5 sejak 2023 dan kini meneruskan lagi bilangan tersebut menerusi identiti baharu, Chery O5.

Perbezaan yang dilakukan berbanding Omoda 5 terdahulu adalah O5 kini menerima sentuhan yang lebih diperhalusi dari aspek penggayaan serta pengalaman ride and handling.

Chery O5 kini menerima unit kotak gear baharu jenis Dual Clutch Transmission (DCT) 6-kelajuan berbanding model terdahulu yang menggunakan kotak gear jenis Continuous Variable Transmission (CVT).

Unit kotak gear baharu itu dipadankan dengan unit enjin yang sama, iaitu enjin 1.5-liter turbo yang menghasilkan kuasa output pada 156PS dan daya kilas pada 230Nm tork.

 

chery

 

Selain itu, perubahan teknikal yang dilakukan adalah dari segi unit gantungan, jika sebelum ini menggunakan torsion beam, kini O5 menggunakan unit gantungan belakang jenis Multi-Link Independent.

Untuk pengalaman pemanduan yang lebih menarik, Chery O5 kini ditawarkan dengan tiga mod pemanduan, iaitu Eco, Normal dan Sport. Berbanding sebelum ini, hanya dua mod pemanduan ditawarkan.

Dari sudut penggayaan, jelas kelihatan gril O5 menerima penggayaan gril Pixel Diamond baharu yang lebih diperhalusi dan sentuhan bumper hadapan berbentuk ‘X’ yang dipadankan dengan unit pencahayaan DRL berbentuk anak panah.

 

chery

 

Tambahan itu, bagi model O5 terbaharu ini, tiada lagi highlight jalur berwarna merah pada setiap bahagian seperti di panel skirting, cermin sisi serta di bahagian rim.

Kini Chery O5 ditawarkan dengan warna yang lebih solid dengan variasi empat warna iaitu Khaki White, Carbon Black, Phantom Grey dan Bloodstone Red.

 

chery

 

Selain itu, perubahan penggayaan dilakukan adalah rim baharu berwarna hitam penuh bersaiz 18-inci serta sentuhan reka bentuk spoiler yang diperhalusi untuk meningkatkan efisiensi aerodinamik.

Pada bahagian kabin dalaman, O5 kini menampilkan paparan dwi-skrin bersepadu bersaiz 20.5-inci serta menerima cermin pandang belakang jenis tanpa bingkai secara standard.

Ia juga menampilkan infotainmen yang disokong dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar dan juga sistem audio premium dari SONY.

 

chery

 

Untuk menambah ciri lebih praktikal untuk kegunaan harian, O5 menampilkan ruangan pengecasan telefon pintar tanpa wayar, armrest hadapan dengan ciri penyejukan pada ruang simpanan.

Untuk ciri pengalaman lebih premium, O5 turut menawarkan ciri kerusi hadapan dengan fungsi ventilated pada kedua-dua bahagian tempat duduk serta butang elektronik kerusi pemandu dengan 6-way dan 4-way bagi penumpang hadapan.

 

chery

 

Sebagai sebuah SUV, O5 menawarkan ruang kapasiti but belakang pada 442-liter, sesuai menggambarkan sebuah SUV yang bukan sahaja bergaya tetapi penuh dengan ciri yang praktikal

Dari segi ciri keselamatan, Chery O5 baharu terus mengutamakan keselamatan dengan penggunaan 78% struktur badan Keluli Berkekuatan Tinggi, 6 beg udara, sauh kerusi kanak-kanak ISOFIX, serta Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2.

Selain itu, ia turut menampilkan ciri tambahan seperti Kamera Panorama HD 540°, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), dan Kawalan Lampu Hadapan Pintar meningkatkan lagi keyakinan ketika pemanduan.

 

chery

 

Ia juga turut mengekalkan penarafan keselamatan 5-bintang ASEAN NCAP yang sama, seperti yang telah dicapai oleh model OMODA 5 sebelum ini.

Chery O5 baharu juga dilengkapi dengan 18 ciri bantuan pemanduan generasi terkini ADAS Tahap 2, antaranya adalah;

  • Front Collision Warning (FCW)
  • Autonomous Emergency Braking (AEB)
  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Lane Keep Assist (LKA)
  • Traffic Jam Assistant (TJA)
  • Integrated Cruise Control (ICC)
  • Speed Control Assist (SCA)
  • Intelligent Speed Assist (ISA)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Speed Limit Assist (SLA)
  • Lane Change Assist (LCA)
  • Lane Departure Prevention (LDP)
  • Drive Away Information (DAI)
  • Blind-spot Detection (BSD)
  • Emergency Lane Keeping Assist (ELKA)
  • Traffic Signs Recognition (TSR)
  • Intelligent Headlight Control (IHC)

 

Chery O5 baharu ini ditawarkan dengan harga bermula dari RM116,800 dan ia didatangkan dengan pakej standard seperti pelindungan waranti selama tujuh tahun atau had perbatuan sehingga 150,000KM serta pakej servis percuma selama lima tahun (tenaga kerja sahaja).

Sempena pelancaran, Chery Auto Malaysia turut menawarkan pakej pelancaran bernilai RM6,000; tiga tahun servis percuma bernilai RM4,000 dan perlindungan waranti selama 10-tahun atau had perbatuan sehingga 1 juta kilometer yang bernilai RM2,000.

 

chery

 

Tambahan itu, ia juga menawarkan kos ansuran menarik dengan Maybank pada RM990/bulan, bergantung pada terma dan syarat.

Untuk maklumat lanjut mengenai Chery O5 baharu, kunjungi bilik pameran dan jualan Chery seluruh negara atau layari laman sesawang Chery Auto Malaysia.