Chery Malaysia Beralih ke PHEV, Pemasangan Tempatan Jadi Kunci Lepas Insentif EV Tamat

oleh Qalif Latif|
Chery Malaysia kini menukar haluan strateginya dengan memberi tumpuan kepada kenderaan plug-in hybrid electric vehicle (PHEV), seiring dengan pengumuman bahawa insentif pengecualian duti untuk kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya di Malaysia akan berakhir hujung tahun ini.

Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang, berkata pemain industri EV selama ini banyak bergantung pada inisiatif kerajaan yang menarik masuk pelbagai jenama baharu ke pasaran tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, menurut beliau, cabaran sebenar akan bermula pada 2026 apabila hanya kenderaan pemasangan tempatan (CKD) yang layak menerima pelepasan cukai.

Pelaburan Kilang CKD di Hulu Selangor

Bagi memastikan kelangsungan jangka panjang, Chery telah pun melabur sebanyak RM2.2 bilion bagi membangunkan kilang pemasangan di Beringin High-Tech Auto Valley, Hulu Selangor. Fasiliti seluas 200 ekar itu sedang dibangunkan dengan kapasiti awal 100,000 unit setahun dan boleh ditingkatkan sehingga 300,000 unit.

Pelaburan ini membuktikan komitmen kami terhadap pelanggan di Malaysia, keyakinan kami kepada pasaran tempatan dan teknologi yang kami bawa,” jelas Lee. Beliau turut menegaskan Malaysia berpotensi menjadi hab penting Chery di rantau Asia Tenggara.

Fokus Kepada PHEV

Chery menegaskan bahawa sektor automotif negara tidak boleh kekal bergantung kepada enjin pembakaran dalaman (ICE) semata-mata. Laluan masa depan jelas menuju ke arah elektrifikasi dan PHEV dianggap sebagai solusi praktikal bagi tempoh transisi.

Pada pelancaran terbaru, Chery memperkenalkan Tiggo 7 PHEV (bermula RM129,800) dan Tiggo 8 PHEV (bermula RM159,800). Kedua-dua model ini menggunakan platform Super Hybrid dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT), dwi-motor, serta bateri LFP 18.3kWh yang membolehkan jarak pemanduan elektrik penuh sehingga 90km.

Gabungan sistem hibrid ini menawarkan jarak pemanduan sehingga 1,200km dengan satu tangki penuh dan sekali caj.

PHEV bukan sekadar batu loncatan, ia adalah pilihan realistik buat rakyat Malaysia ketika beralih ke mobiliti elektrik sepenuhnya. Ia menggabungkan kecekapan petrol dan prestasi elektrik,” kata Lee.

Harga Kompetitif, Tiada Sasaran Jualan Spesifik

Walaupun tidak menetapkan sasaran jualan khusus, Chery optimis PHEV mampu menarik minat kerana pasaran kini didominasi oleh model berharga premium. Strategi Chery adalah menawarkan produk bernilai pada harga yang lebih mampu milik, disesuaikan dengan hasil kaji selidik dan maklum balas pengguna tempatan.

Komitmen Jangka Panjang

Chery mula memasuki pasaran Malaysia pada 2023 dengan model ICE sebelum memperluaskan ke segmen EV, hibrid dan kini PHEV. Sebagai pengeksport kereta penumpang nombor satu China selama 22 tahun berturut-turut, Chery melihat Malaysia sebagai pasaran utama dan pintu masuk ke Asia Tenggara, seiring dengan trend global yang beralih kepada elektrifikasi.

Sumber: The Edge Malaysia


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Melalui kolaborasi ini, tag RFID berjenama akan ditawarkan sebagai sebahagian pakej pembelian bagi…
Berita Domestik
Acara ini disaksikan lebih 100 jemputan terdiri daripada wakil kerajaan dan media, bagi memastikan…
Kereta
Jenama iCAUR dan Pengenalan di Malaysia iCAUR merupakan jenama di bawah Chery yang memfokuskan…