Chery mahu tembus pasaran Eropah dengan nama baharu

oleh Muhammad Md Tajudin|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Chery adalah di antara jenama dari negara China yang terawal memasuki pasaran tempatan iaitu pada tahun 2006 lagi. Model yang dipasarkan terdiri daripada QQ (segmen A), Eastar (MPV), Tiggo (SUV), A15 (segmen B) dan A250.

Bisnes Chery dalam pasaran tempatan sekarang ini selain MPV Maxime dan Eastar, kelihatan lebih tertumpu dalam segmen komersil melalui tiga model seperti pikap Transcab serta van Transcar dan Transcom.

Beberapa kenderaan Chery sebenarnya dipasang di Malaysia dan menariknya, selain bekerjasama dengan syarikat tempatan iaitu Alado Corporation, rakan kongsi lain syarikat ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Di peringkat global pula, Chery telah menubuhkan syarikat automotif Qoros bersama Israel Corporation pada 2007 dan pada 2012 mengikat perjanjian dengan Jaguar Land Rover bagi menghasilkan kenderaan jenama sendiri.

Walaupun sudah lama menubuhkan Qoros dengan beberapa model produksi sejak 2013 nampaknya jualan yang dicapai tidak seberapa. 2016 misalnya, kenderaan Qoros hanya terjual tidak sampai 25,000 unit.

 

Chery SUV

 

Berita terbaru pula iaitu pada April tahun ini mengatakan Qoros tidak akan memasuki pasaran Eropah seperti yang dicanang sebelum ini.

Tidak dapat dipastikan kenapa keputusan itu dibuat memandangkan model konsep Qoros 3 mendapat perhatian hangat sewaktu dipertontonkan di Pameran Kenderaan Geneva 2013 dengan versi produksi mencatat skor lima bintang Euro NCAP pada tahun sama.

Malah, Qoros Q3 mendapat skor paling tinggi yang pernah direviu Euro NCAP pada tahun 2013 serta mencatat sejarah sebagai kenderaan China pertama di dunia mencatat skor seumpamanya.

Ini pula berita terbaru tentang Chery dan ia mengenai rancangan baharu mereka untuk memasuki Eropah.

Syarikat itu bakal bermula sekali lagi dengan beberapa model kenderaan penumpang yang bakal dilancarkan di Eropah dalam masa beberapa tahun akan datang.

Menariknya, Chery tidak akan menggunakan jenamanya sendiri tetapi dengan nama baharu. Model pertama yang akan dijual ialah SUV kompak (SUV lagi...) yang dibangunkan untuk pelanggan muda dan urban.

Katanya, model tersebut akan memenuhi selera pasaran Eropah seperti reka bentuk, kualiti, dinamik pemanduan dan standard pelanggaran.

Walaupun nampak seperti lama lagi, Chery tidak bercakap kosong, pada Pameran Kenderaan Frankfurt (IAA) yang berlangsung dari 12 September depan, syarikat akan mempamerkan model pra-produksi SUV itu buat pertama kali di dunia.

Untuk menyokong jualan yang dirancang, Chery sedang menilai beberapa peluang di pasaran utama termasuk menubuhkan operasi jualan dengan rakan pengimport dan pengedar.

Tidak cukup dengan menjual, Chery akan menubuhkan kemudahan reka bentuk serta penyelidikan & pembangunan (P&P) di Eropah.

 

Chery SUV

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Chery, Dr. Anning Chen, Chery juga turut merancang untuk rangkaian kenderaan canggih seperti, hibrid-elektrik (HEV), plug-in hybrid (PHEV) dan bateri-elektrik (BEV).

Suatu perancangan hebat. 

Chery ditubuhkan 20 tahun lalu oleh Tongyue Yin yang sekarang ini merupakan pengerusi Kumpulan Chery. Setakat ini, Chery adalah syarikat kenderaan paling berjaya di China dengan jualan global sudah melebihi 1.2 juta unit. Rekod itu dipegang selama 14 tahun berturut-turut.

Pada 2016, Kumpulan Chery telah menjual lebih dari 700,000 unit kenderaan dan kira-kira 100,000 unit telah dieksport.

Jumlah tersebut bersamaan hampir 30 peratus dari jumlah keseluruhan kenderaan China yang dieksport ke luar negara.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Tags

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Chery Malaysia juga memberikan sebuah kereta untuk digunakan sementara proses itu berlangsung.…
Berita Domestik
Pilihan warna edisi terhad yang lebih menawan cerah akan tersedia secara eksklusif pada TIGGO 8 PRO…
Berita Domestik
Pakej Extra Peace of Mind ini merangkumi penyelenggaraan penting bagi pemilik OMODA 5 dan TIGGO 8…