Beliau berkata, menerusi pembukaan kilang itu, ia menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan baharu, tambahan kepada lebih daripada 1,000 pekerja menerusi operasi tempatannya ketika ini.
Katanya, Chery juga mempunyai rangkaian 100 pusat jualan dan servis di seluruh negara.
"Kilang Korporat Chery Malaysia ini beroperasi berhampiran pengeluar tempatan lain yang penting kepada rantaian bekalan.
"Kemudahan ini juga hampir dengan infrastruktur utama seperi pelaburan kedua terbesar di Asia Tenggara yang mampu meningkatkan lagi tahap kesediaan kumpulan untuk mengeksport ke ASEAN pada masa hadapan," katanya selepas majlis perasmian Kilang Korporat Chery Malaysia pada Selasa.
Majlis dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Industri dan Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT), Dr Jin Zhuanglong.
Tongyue berkata, kemudahan baharu itu juga akan menjadi lokasi pemasangan tempatan pertama bagi sub jenama premium Chery iaitu Jaecoo J7 varian pacuan semua roda (AWD) dan pacuan dua roda.
Beliau berkata, kumpulan juga menyasarkam komponen kandungan tempatan sekitar 40 hingga 50 peratus pada masa hadapan.
Selain itu, katanya perancangan lain kumpulan adalah memperkenalkan model Jaecoo dan teknologi baharu untuk pasaran tempatan.
"Kami kini sudah membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk kenderaan pemanduan sebelah kanan (RHD) serantau.
"Malaysia adalah permulaan dan hab untuk pembangunan kenderaan sebelah kanan kerana ketersediaan pekerja mahir, lokasi yang strategik, faktor cuaca serta geografi yang sesuai untuk menguji kenderan kami untuk pasaran serantau.
"Selepas Malaysia, pusat R&D ini bakal dibuka di negara lain seperti United Kingdom (UK) dan Australia serta lokasi yang bersesuain mengikut keperluan pasaran," katanya.
Tongyue berkata, kemudahan di Shah Alam itu juga sedia untuk memasang model-model enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan elektrik 'Plug-In Hibrid' (PHEV) dan kenderaan elektrik (EV) Jaecoo.
"Model Chery di Malaysia pula dipasang di Kilang Inokom di Kulim, Kedah sama seperti sebelum ini untuk model Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro," katanya.
Sementara itu, beliau berkata pasaran kenderaan cekap tenaga menunjukkan peningkatan daripada pengguna di Malaysia.
"Kami gembira dengan sambutan positif daripada pengguna di Malaysia terhadap jenama dan juga tawaran kami di bawah Chery dan Jaecoo.
"Memandangkan EV bakal menguasai masa depan yang mesra alam, Chery juga teruja untuk menyokong pertumbuhan kenderaan itu di Malaysia," katanya.