Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Chery bakal memasuki pasaran Eropah dengan penjenamaan baharu. Jenama itu dikenali sebagai EXEED dengan beberapa produk seperti SUV dan kereta penumpang bakal dipasarkan dalam beberapa tahun lagi.
Model pertama untuk pasaran Eropah ialah EXEED TX iaitu sebuah SUV kompak yang disasarkan kepada golongan muda, urban dan berfikiran progresif. SUV itu dibangunkan mengikut citarasa pelanggan Eropah dan juga standard keselamatan di sana.
Fokus Chery di Eropah bukan setakat menjual tetapi juga mahu membangunkan pusat reka bentuk dan fasiliti R&D yang dapat membantu mempercepatkan rancangan pengembangannya di peringkat global. Chery juga sedang menilai untuk memasarkan jenama baharu ini beberapa pasaran utama dunia.
EXEED TX ialah evolusi kepada falsafah rekaan Chery yang dikenali sebagai Life in Motion. Falsafah reka bentuk itu dibangunkan oleh Ketua Pereka Chery, James Hope yang pernah berkhidmat bersama Ford, Johnson Controls dan General Motor.
Falsafah ini membawa gayaan signatur Chery iaitu hydrodynamic surfacing yang mengambil inspirasi dari pergerakan air mengalir.
Menarik tentang EXEED TX atau mungkin salah satu sebab kenapa Chery memerlukan beberapa tahun sebelum melancarkannya ialah tiga nadikuasa canggih yang mahu dipasangkan.
Pertama ialah plug-in hybrid (PHEV) yang menggabungkan enjin 1.5 liter pembakaran dalaman berkuasa 110 kW dengan motor elektrik 85 kW. Varian pertama yang dipasarkan di Eropah ini menggunakan pacuan empat roda (AWD) dengan transmisi hibrid tujuh kelajuan.
SUV ini dikatakan mampu memecut dari kosong sehingga 100 km/j dalam masa 6.0 saat sahaja dengan kelajuan maksimum 200 km/j dan menariknya hanya menggunakan 1.8 liter petrol sahaja untuk 100 km perjalanan mengikut sukatan NEDC.
Selain itu, EXEED TX juga mampu bergerak sejauh 70 km pada kelajuan 120 km/j menggunakan mod elektrik sepenuhnya yang dibekalkan oleh bateri lithium NCM.
Bateri tersebut mampu dicas sehingga 80 peratus dalam 30 minit sahaja dengan menggunakan pengecas pantas. Jika menggunakan sumber kuasa 220 V di rumah, bateri itu mengambil masa empat jam untuk pengecasan penuh.
Di atas kertas, angka-angka yang ditunjukkan ini menggagumkan. Apa pun, selepas syarikat automotif dari Jepun dan Korea Selatan berjaya melebarkan sayap mereka di Eropah, kini tiba masanya untuk syarikat dari China pula. Hebat.
Penulis: Muhammad Md Tajudin