Model pertama di bawah jenama Emta itu dijangka dikenali sebagai Emta #01, dan bakal menjadi permulaan kepada rangkaian empat model yang dirancang menjelang tahun 2029.
Emta merupakan jenama automotif baharu berpangkalan di Singapura hasil kerjasama antara beberapa syarikat besar termasuk Chery Automobile, Jiangsu Yueda Automobile Group, Autobacs Seven, Gotion dan Anest, dalam usaha sama tersebut, Chery dan Yueda masing-masing memegang pegangan saham sebanyak 27.27%.
Menariknya, walaupun Chery menjadi antara pemegang saham utama, syarikat itu menegaskan mereka hanya bertindak sebagai penyedia teknologi dan tidak terlibat secara langsung dalam operasi harian jenama Emta.
Di bawah kerjasama itu, Chery akan membekalkan platform, sistem pemanduan elektrik dan teknologi bantuan pemandu, manakala bateri pula dibekalkan oleh Gotion.
Pengeluaran kenderaan akan dilakukan di kilang Yancheng milik Yueda di China, fasiliti yang sebelum ini pernah menghasilkan model Kia dan HiPhi.
Bagi aspek jualan di Jepun pula, syarikat alat ganti terkenal Autobacs Seven akan menguruskan saluran pengedaran, sementara Anest bertanggungjawab dalam kawalan kualiti.
Menurut Emta, pembangunan konsep dan rekaan produk dipimpin oleh pasukan Jepun yang mempunyai pengalaman bersama Honda dan Mazda.
Ketua Pegawai Pemasaran jenama itu ialah bekas Pengurus Besar Nissan China, Susumu Uchikoshi, manakala CEO syarikat ialah bekas Presiden Changan Ford, He Xiaoqing.
Model pertama Emta hadir dalam bentuk kei car elektrik bergaya boxy dengan dimensi sekitar 3.4 meter panjang dan 1.48 meter lebar, menepati regulasi kei car Jepun.
Dari segi rekaan, ia kelihatan seperti versi lima pintu kepada Chery QQ Ice Cream EV yang diperkenalkan di China pada tahun 2021.
Antara elemen menarik termasuk lampu hadapan berbentuk kotak, tiang hitam, bampar minimalis dan cermin sisi yang sangat kecil, berkemungkinan menggunakan sistem kamera digital menggantikan cermin konvensional.
Walaupun spesifikasi penuh, harga dan varian masih belum diumumkan, pihak Emta mendakwa kei car tersebut menawarkan tahap keselamatan perlanggaran setanding kereta bersaiz lebih besar.
Selain kei car itu, Emta juga merancang untuk memperkenalkan hatchback, SUV dan MPV pada masa akan datang.
Kehadiran Emta #01 bakal memperhebat persaingan EV kompak di Jepun, khususnya menentang BYD Racco yang turut dijadual memasuki pasaran Jepun tidak lama lagi dengan harga sekitar 2.5 juta yen (sekitar RM75,000).
Persaingan itu juga dilihat sebagai kesinambungan perebutan status pengeksport automotif terbesar China antara BYD dan Chery.
Setakat April 2026, BYD mencatat eksport sebanyak 135,098 unit, manakala Chery masih mendahului dengan 177,573 unit dieksport dalam tempoh sama.
Sumber: Car News China