Ceroboh perairan negara : 3 kapal penguat kuasa Vietnam cuba halang Maritim Malaysia tahan bot nelayan

oleh SALINA JALIL|
gambar ihsan Maritim Malaysia
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu mengusir tiga kapal penguat kuasa Vietnam yang menghalang kapal Maritim daripada menahan bot nelayan negara itu yang menceroboh perairan.


Kejadian itu berlaku di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara ketika Kapal Maritim (KM) GEMIA sedang menunda tiga bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara membabitkan rampasan bernilai RM4.5 juta, Jumaat lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Ramli, berkata KM GEMIA sebelum itu menahan tiga bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan Malaysia untuk merompak hasil laut negara pada jarak antara 119 hingga 120 batu nautika Timur Laut Kuala Terengganu antara jam 8 hingga 9 pagi.

 

Tiga kapal penguat kuasa Vietnam memasuki perairan negara untuk menghalang KM GEMIA menahan tiga bot nelayan mereka dengan menghimpit bot tahanan dan membayangi KM GEMIA.

 

"Susulan kejadian itu, Pusat Operasi Maritim Terengganu mengarahkan KM AMANAH yang ketika itu berada pada jarak 35 batu nautika dari lokasi kejadian untuk memberikan bantuan dan memaklumkan Pusat Operasi Maritim Ibu Pejabat Putrajaya berkaitan insiden itu.

 

"Pada peringkat awal, penguat kuasa Vietnam meminta kita melepaskan bot-bot nelayan mereka namun kita tidak memenuhi permintaan itu kerana bot nelayan itu menceroboh perairan Terengganu untuk merompak hasil laut Malaysia.

 

"Anggota kita kemudian mengarahkan kapal-kapal penguat kuasa Vietnam itu keluar dari perairan negara sebelum mereka akhirnya akur dengan arahan diberikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Muhammad Suffi berkata, pihaknya menahan 19 nelayan termasuk tekong yang berusia antara 21 hingga 61 tahun yang berada di tiga bot nelayan asing berkenaan.

 

Turut dirampas ialah 1.5 tan hasil laut, 4,500 liter diesel serta peralatan menangkap ikan dengan rampasan dianggarkan bernilai RM4.5 juta.

 

"Selain berdepan dengan gangguan penguat kuasa Vietnam, kita turut mengalami kesukaran apabila dua daripada bot nelayan yang ditahan itu mengalami kerosakan dan terpaksa ditunda ke Jeti Maritim Negeri Terengganu bagi siasatan lanjut.

 

"Kita mengambil masa hampir 55 jam dengan kelajuan hanya tiga knot untuk menunda bot itu sebelum tiba di jeti kira-kira jam 3 petang semalam (Ahad).

 

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

 

Sepanjang Op Kuda Laut yang dilancarkan untuk membanteras pencerobohan nelayan asing terutamanya dari Vietnam, 87 bot nelayan asing membabitkan 960 kru ditahan.

 

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan…
Berita Domestik
  Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan itu adalah hasil…
Berita Domestik
  "Setelah pemeriksaan dilakukan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran…