Bagaimana sudut pandang pemandu dikaji?
Di SEAT, mereka sedang membangunkan teknologi yang menggunakan sensor cahaya inframerah, imej resolusi tinggi dan algoritma.
Kesemua teknologi tersebut digunakan untuk mengenalpasti lokasi pandangan pemandu. Teknologi itu dinamakan sebagai Eye-Tracking dengan menggunakan cermin mata.
Data cerapan dari cermin mata membolehkan komputer menganalisa lokasi pandangan pemandu.

Cermin mata tersebut bukan biasa-biasa kerana dilengkapi kanta yang mempunyai sensor inframerah dan kamera di tengah-tengah bingkai.
Menurut Ketua Jabatan Smart Quality SEAT, Rubén Martínez, sensor pada cermin mata mengesan kedudukan tepat iris pada setiap masa dan semua yang dipandang oleh pengguna dirakamkan.
Seterusnya algoritma model mata 3D menterjemahkan kesemua data dan memperolehi lokasi pandangan yang tepat.
Apa fungsi teknologi ini?
Teknologi ini membantu dalam mendapatkan kajian yang begitu terperinci tentang interaksi manusia dengan pelbagai jenis peranti.
Sebagai contoh menganalisa kebolehgunaan aplikasi mobiliti. Menurut Rubén Martínez, SEAT dapat mengetahui di mana pengguna mengharapkan untuk mencari maklumat seperti kadar bateri atau jarak kilometer.
Bagaimana ia digunakan?
SEAT sedang membuat ujian rintis dalam memperkenalkan cermin mata Eye-Tracker untuk digunakan semasa pengujian model baharu.
Mereka memilih pengguna yang mempunyai profail berbeza untuk memandu SEAT Leon. Ketika sesi tersebut, pemandu diminta untuk melakukan beberapa tindakan seperti menaikkan suhu atau menukar stesen radio.

Menurut Rubén Martínez, dari situ mereka akan menganalisa beberapa perkara seperti lokasi pandangan mata pada skrin, berapa lama masa diambil dan berapa kali pemandu memandang ke jalan raya semasa berinteraksi dengan peranti.
Satu lagi perkongsian menarik dari Rubén Martínez ialah sebelum ini ujian dibuat dengan menanyakan soalan pada pengguna.
Bagaimanapun, otak manusia kerap mengelirukan apabila lokasi yang anda fikirkan sebenarnya bukan merujuk kepada fakta sebenar.
Teknologi yang dibangunkan kini mempunyai data tepat.

Bagaimana data diterjemahkan?
Berikut ialah bagaimana data yang dicerap diterjemah untuk difahami dan digunakan:
- Setiap corak tingkah laku pandangan pemandu diperolehi melalui indikator berbeza menggunakan algoritma yang kompleks.
- Satu darinya ialah indikator zon haba yang menunjukkan keamatan (intensity) setiap tumpuan perhatian.
- Titik merah menunjukkan impak tertinggi dan perlu sentiasa berada di jalan raya.
- Di situ ialah jaminan atau lokasi di mana pengguna perlu terus memberikan perhatian di jalan raya walaupun semasa berinteraksi dengan skrin di papan pemuka.
- Aturan atau susunan penglihatan pemandu. Merupakan aspek utama dalam mengetahui di mana pemandu jangkakan untuk menemui sesebuah fungsi.
Menurut Rubén Martínez, pada kebiasaannya kita mungkin merasakan bahagian bawah skrin papan pemuka paling mudah untuk dicapai namun sebaliknya melalui cermin mata Eye-Tracker bahagian pandangan mata yang pertama dilihat ialah pada bahagian atas.

Faedah untuk masa depan
Dengan data dan corak yang diperolehi ianya akan menjadi aspek penting dalam membangunkan konsol tengah papan pemuka kereta masa depan.
Input tersebut akan menentukan bahagian, saiz dan pengagihan maklumat yang paling selesa buat pemandu.
Maknanya nanti reka susun sesebuah konsol nanti dibuat berpandukan data yang tepat!
Penulis: Muhammad Md Tajudin