Terlalu moden sehinggakan ada kalanya ia mampu menjadikan operasi di dalam sesebuah kenderaan menjadi rumit, walaupun sekadar mahu menaikkan suhu kabin semasa memandu pada waktu malam.
Di luar negara, model Volkswagen Golf Mk8 GTI dikritik keras oleh sebahagian pihak disebabkan sukar untuk dioperasikan dan sistem infohibur yang cenderung untuk bermasalah.
Hal ini turut diakui sendiri oleh CEO baharu Volkswagen, Thomas Schäfer yang menjamin pihaknya akan cuba menyelesaikan masalah tersebut setelah menerima maklum balas daripada pelanggan dan juga wartawan automotif.
Menurut laporan Car Magazine, CEO itu mengakui isu sistem infotainmen MIB3 yang menghantui para pelanggan VW bukan sahaja ada pada Golf Mk8, malah kenderaan jenama lain di bawah VW Group seperti Cupra dan Skoda.
Schäfer menjelaskan, perisian 3.0 baharu sedang dibangunkan bagi membolehkan butang kawalan sensitif sentuhan di roda stereng dan kawalan iklim beiluminasi pada waktu malam untuk memudahkan pengguna melaraskan fungsi tersebut, selain menjadikan operasi lebih pantas.
Dalam laporan terdahulu, Volkswagen mengumumkan akan mengembalikan butang kawalan fizikal untuk model-model facelift akan datang setelah mendengar rungutan daripada para pelanggan mereka.
Sumber: Car Magazine