Ya, anda tidak silap. Bukan Chiron. Bukan Tourbillon. Tetapi sebuah Mk5 Golf R32 lima pintu, lengkap dengan enjin V6 naturally aspirated dan kotak gear DSG. Model ini merupakan yang terakhir dari legasi V6 Golf dan bagi Rimac, ia cukup istimewa. Dia anggapnya sebagai sebuah restomod, walaupun rupa luaran masih ‘stock’. Naik taraf hanya dilakukan dari dalam menjadikan ia hatchback harian yang lebih selesa, lebih moden, tapi kekal dengan jiwa asal.

“Saya suka kereta ini. Selesa, ringkas, dan ada karakter,” ujar Rimac dalam satu sesi santai bersama media.
Dari BMW ke Bugatti, Tapi Hati Masih Pada Petrol
Walaupun kini mengetuai syarikat hiperkereta elektrik paling canggih, Rimac tak pernah lupa akar umbinya. Koleksi garaj peribadi beliau penuh dengan model klasik BMW dari M3 E30 Sport Evolution, Z4 M Coupe, hinggalah ke M6 E64dengan enjin V10 yang boleh buat siapa sahaja tersenyum lebar (dan takut tengok meter minyak). Bahkan, EV pertama yang dibina Rimac adalah sebuah BMW E30 1983 yang ditala sehingga 600 hp digelar “Green Monster”, pernah menjadi EV terpantas dari segi pecutan pada 2011.

Tetapi minatnya terhadap enjin pembakaran dalaman bukan sekadar hobi. Rimac secara terang-terangan menolak idea asal Volkswagen yang mahu jadikan pengganti Chiron sebagai EV penuh. Hasil penolakan itu? Bugatti Tourbillon sebuah jentera hybrid dengan enjin V16 8.3L naturally aspirated yang benar-benar melawan arus industri.
Mereka Yang Kaya, Tapi Tetap Pilih Jiwa
Fenomena ini bukan unik pada Rimac. CEO Koenigsegg, Christian von Koenigsegg, masih setia memandu Toyota GR Yaris setiap hari. Malah dia pernah berkata, kalau tinggal satu liter petrol di dunia dia akan tuang dalam Mazda Miatamiliknya. Ivan Espinosa, bos baharu Nissan, pula memilih Nissan Z untuk perjalanan harian ke pejabat.
Golongan ini mampu memiliki apa sahaja tetapi tetap memilih kereta yang ada karakter, ada sentuhan pemandu, dan bukan sekadar paparan digital serta bunyi tiruan. Di saat industri makin dibanjiri SUV elektrik dua tan dengan skrin sebesar TV, mereka ini kekal memilih ‘kereta’ sebenar.

Mate Rimac mengingatkan kita bahawa walaupun dunia automotif bergerak pantas ke arah elektrifikasi, masih ada ruang untuk jiwa mekanikal. Dan kadangkala, kereta terbaik untuk pemandu sebenar bukanlah yang terpantas, tetapi yang paling ikhlas walaupun ia cuma sebuah Golf lama.