CEO Baharu Toyota Akui Syarikat Ada Terlalu Banyak Model Dan Varian

oleh Qalif Latif|
Toyota mungkin masih kekal sebagai pengeluar automotif terbesar dunia untuk tahun keenam berturut-turut, namun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya, Kenta Kon berpendapat syarikat itu kini mempunyai terlalu banyak model dan varian sehingga menyebabkan kos pembangunan semakin meningkat.

Sejak mengambil alih jawatan CEO pada 1 April lalu, Kon telah melawat pelbagai kilang, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pejabat jualan Toyota bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan dan kecekapan operasi.

Walaupun Toyota berjaya menjarakkan kedudukan daripada Kumpulan Volkswagen dengan kelebihan kira-kira 2.3 juta kenderaan pada tahun 2025, keuntungan syarikat itu dijangka berdepan tekanan dalam tempoh terdekat.

Toyota mengunjurkan keuntungan operasi bagi tahun kewangan yang berakhir pada Mac 2027 akan merosot sebanyak 20 peratus. Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan tersebut termasuk persaingan sengit daripada pengeluar China, kos pembangunan kenderaan elektrik (EV) yang semakin tinggi serta ketidaktentuan perdagangan global yang berpunca daripada tarif Amerika Syarikat.

Di Amerika Syarikat, yang selama ini menjadi antara pasaran paling menguntungkan Toyota, operasi syarikat itu dilaporkan mengalami kerugian bagi tahun kewangan lalu akibat peningkatan kos berkaitan EV dan impak tarif perdagangan.

Terlalu Banyak Varian Tingkatkan Kos

Menurut laporan Automotive News, Kon berkata peningkatan jumlah spesifikasi dan varian bagi sesuatu model telah menyebabkan kos pembangunan menjadi lebih tinggi.

Beliau menjelaskan pasukan pembangunan kini perlu menghasilkan terlalu banyak konfigurasi untuk memenuhi keperluan pasaran berbeza, yang turut menambah kerumitan dalam proses pembangunan dan pengeluaran.

Bagaimanapun, Toyota tidak bercadang melakukan perubahan drastik dalam masa terdekat kerana mahu memastikan sebarang langkah penstrukturan semula dilaksanakan secara berperingkat.

Mula Dengan Penyederhanaan Produk Sedia Ada

Dalam jangka pendek, Toyota dijangka memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kerumitan spesifikasi dan varian bagi model sedia ada.

Langkah tersebut dilihat lebih mudah dilaksanakan berbanding menghentikan pengeluaran sesuatu model secara terus.

Toyota sebelum ini turut membatalkan pembangunan pengganti elektrik untuk sedan mewah Lexus IS yang dirancang berasaskan konsep LF-ZC.

Keputusan itu mencerminkan pendekatan lebih berhati-hati syarikat dalam menentukan model yang benar-benar berpotensi memberikan pulangan jangka panjang.

Keperluan Pasaran Berbeza Jadi Cabaran

Toyota sebelum ini memberi lebih banyak autonomi kepada setiap wilayah supaya mereka boleh membangunkan produk yang sesuai dengan keperluan pasaran masing-masing.

Hasilnya, Toyota mempunyai pelbagai model yang hanya dijual di rantau tertentu seperti kereta kei di Jepun, Aygo X di Eropah, serta Innova dan Avanza di Asia.

Di Amerika Utara pula, Toyota menawarkan model yang lebih besar seperti Tundra, Tacoma, Sequoia, 4Runner, Highlander dan Grand Highlander.

Walaupun strategi tersebut membantu Toyota memenuhi kehendak pengguna di setiap pasaran, ia turut meningkatkan kos pembangunan kerana lebih banyak model dan varian perlu diselenggara sepanjang kitaran hayat produk.

CEO Baharu Dengan Latar Belakang Kewangan

Sebelum dilantik sebagai CEO, Kenta Kon berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Toyota sejak tahun 2020.

Beliau mempunyai latar belakang dalam bidang ekonomi dan pernah memegang pelbagai jawatan kanan melibatkan pentadbiran korporat, sumber manusia, kejuruteraan serta penyelidikan dan pembangunan.

Berbeza dengan dua CEO terdahulu iaitu Akio Toyoda dan Koji Sato yang dikenali sebagai peminat automotif, Kon lebih dikenali sebagai seorang pengurus korporat dengan kepakaran dalam bidang kewangan dan operasi perniagaan.


 


Sumber: carexpert