Caterham Seven 170 ini hanya 440kg, enjin turbo 660cc Suzuki!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Caterham Seven 170
Caterham Seven 170
Lotus dan Caterham mempunyai hubungan sejak dari tahun 60-an lagi apabila Caterham merupakan pengedar utama Lotus 7 pada masa itu.

Pada tahun 1973, pengasas Caterham iaitu Graham Nearn membeli hak untuk meneruskan pengeluaran Lotus 7 dari Colin Chapman selepas Lotus tidak mahu mengeluarkan lagi model tersebut.

Lagi sejarah menarik apabila Tan Sri Tony Fernandes memiliki Caterham pada tahun 2011 dan melepaskannya kepada VT Holdings dari Jepun pada tahun 2021.

Caterham masih mengeluarkan model Seven sehingga kini (sejak 1973) dan model di pasaran hari ini langsung tidak mempunyai persamaan dengan versi asal dari Lotus.

Terbaru Caterham memperkenalkan Seven 170 yang merupakan model produksi paling ringan pernah dihasilkan syarikat!
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
CATERHAM SEVEN 170

 

Berapakah beratnya? Hanya lebih sedikit dari 440 kilogram! Seven 170 juga adalah model pertama Caterham selepas dimiliki oleh VT Holdings.

Bagaimana Seven 170 boleh seringan itu? Mana tidaknya, model itu menggunakan enjin 660 cc turbo dari Suzuki dan bermakna ianya mematuhi peraturan kei-car (kereta kecil) Jepun.

Ini bukan kali pertama Caterham menggunakan enjin kecil, model Seven 160 dilengkapi enjin 660 cc turbo juga dari Suzuki.

Enjin turbo itu dipadan bersama transmisi lima kelajuan manual.

Enjin Seven 170 berkuasa 84 bhp dan tork 116 Nm dan disebabkan berat badan yang ringan, nisbah kuasa kepada berat ialah 170 bhp per tan! 

Selain itu, Seven 170 adalah model paling kecil dari siri Seven dengan ukuran lebar 1,470 mm lebar atau 105 mm lebih 'kurus' berbanding model Seven lain.

Dari segi prestasi, pecutan dari 0 hingga 100 km/j hanya memerlukan 6.9 saat manakala kelajuan maksimum boleh melepasi 160 km/j.

Lagi ciri menarik Seven 170 ialah kadar emisi CO2 109g/km dan lebih mesra alam berbanding beberapa model hibrid lain. 

Kadar pelepasan itu juga menjadikan Seven 170 model Caterham paling mesra alam setakat ini dan turut mematuhi kadar emisi Euro 6.

 

CATERHAM SEVEN 170

 

Dari segi penampilan, beberapa ciri baharu pada Seven 170 ialah roda aloi, lampu belakang LED dan rekaan stripe.

Caterham menawarkan dua pilihan untuk pengguna iaitu 170S bagi kegunaan jalan raya dan 170R yang sesuai di litar lumba.

Varian 170S didatangkan dengan set suspensi untuk jalan raya, roda aloi Silver Juno 14 inci, cermin depan penuh,  kerusi kulit hitam dan stereng Momo.

Memandangkan 170S adalah versi jalan raya, Caterham turut membekalkan kelengkapan cuaca iaitu penutup (bumbung) dan skrin sisi.

Varian 170R pula dilengkapi set supensi sport, roda aloi Black Juno 14 inci, kerusi lumba komposit, tali keledar empat sudut, LSD, stereng MOMO dan papan pemuka gentian karbon.

Berapakah pula harganya? Bermula dari £22,990 (RM132,301) dan pembeli boleh mendapatkannya dengan pek kit (pasang sendiri) atau yang sudah siap dari kilang.

Penulis: Muhammad Md Tajudn