Catatan Borneo Safari 2019 - Blue Monster 'tak padan cc kecil!'

oleh Mohamad Hanif|
Ini merupakan kali pertama penulis diberikan peluang untuk menyertai acara tahunan Borneo Safari yang baharu sahaja selesai melabuhkan tirainya pada 3 November yang lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Niat di hati, ingin sahaja penulis sertai dari awal, namun disebabkan terdapat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan serta dolak dalik tawaran daripada sebuah jenama yang baharu sahaja naik membuatkan penulis akhirnya bersetuju untuk menyertai Borneo Safari pada separuh kedua. 

30 haribulan Oktober, pesawat AK5136 dari KLIA2 mendarat tepat pada jam 11.20 pagi dan kemudian kami terus menaiki Isuzu D-Max menuju ke arah Kemabong, di mana ia merupakan hari keempat buat para peserta Borneo Safari. 

Setibanya di Kemabong, hari sudah pun mulai gelap, dan kami terus mengemas barang-barang di tapak perkhemahan, sebelum bertolak ke Pekan Kemabong untuk menyertai acara kebudayaan yang dianjurkan oleh penduduk tempatan. 
 

Hari kedua (Hari Kelima Borneo Safari)


Pasukan Careta kali ini amat bertuah kerana walaupun kami menyertai Borneo Safari agak lewat, kami merupakan kumpulan pertama (dalam grup kedua) diberikan peluang untuk merasai sendiri duduk di dalam trak pikap Blue Monster.

Seperti yang kami pernah siarkan sebelum ini, Blue Monster merupakan 'pendatang' baharu di dalam keluarga Borneo Safari Isuzu Malaysia. 
 


Blue Monster merupakan satu-satunya trak pikap yang memiliki sesaran enjin terkecil, iaitu 1.9 liter turbo yang menghasilkan 150 hp dan 350 Nm. 

Difahamkan, semenjak pelancaran rasmi baru-baru ini, Isuzu D-Max 1.9 hanya sempat mencatatkan 200 km pada odometernya, sebelum ditukar karakter menjadi Blue Monster dan dipandu untuk meneroka dan meredah permukaan hutan di Sabah sebagai kenderaan pengangkut untuk media dalam acara mencabar yang bermula dan berakhir di Kota Kinabalu.

Kebetulan beberapa minggu sebelum tarikh Borneo Safari, penulis sendiri sudah diberikan peluang untuk memandu uji trak pikap Isuzu D-Max 1.9 liter dan amat berpuas hati dengan prestasi serta penjimatan bahan api yang diberikan. 
 


Orang mungkin akan skeptikal dengan enjin 1.9 liter tersebut, namun penulis mempunyai alasan tersendiri bagi menyatakan sebaliknya. 

Cuaca pagi itu amat baik, dan selepas sarapan, kami bertolak menuju ke arah kawasan Hardcore ke arah Inandung. 

Memandangkan kali ini terdapat kira-kira 400 unit kenderaan off-road yang menyertai Borneo Safari, perjalanan kami tidaklah selancar yang disangkakan kerana memberikan laluan terlebih dahulu kepada peserta lain melalui laluan yang serupa. 
 


Oleh kerana cuaca masih lagi panas terik sehingga tengah hari, jalan yang dilalui masih boleh diharungi oleh Blue Monster tanpa sebarang masalah. 

Namun, perjalanan menjadi sedikit mencabar apabila hujan mulai turun dan jalan menjadi berlumpur. 

Pandangan skeptikal mungkin akan menganggap Blue Monster sedikit underpower terutama setelah dipasang komponen khusus untuk off-road, seperti tayar lipan 35 inci, winch, bumper besi heavy duty dan juga snorkel. 
 


Apatah lagi menurut pemandu Blue Monster, Masri Sani (gambar atas, tengah) daripada Isuzu Malaysia menyatakan mereka tidak pun membuat sebarang talaan khusus kepada enjin dan transmisi enam nisbah kelajuan manual itu - semuanya standard!

Mengejutkan apabila segala laluan mendaki yang serba mencabar itu begitu mudah diharungi oleh Blue Monster tanpa sebarang masalah, walaupun membawa banyak barangan kargo di bahagian bed belakang. 

Sayang sekali kerana kami tidak begitu sempat merakam aksi-aksi lasak Blue Monster memandangkan tiada tempat yang sesuai untuk kami turun, serta keadaan hari yang semakin gelap kerana menunggu warga Borneo Safari 'menyediakan' jalan yang sudah teruk dikerjakan kenderaan off-road pada hari tersebut. 


 


Menurut Masri Sani lagi, sepanjang tujuh hari Borneo Safari berlangsung, Blue Monster tidak menghadapi sebarang masalah teknikal dan masih mampu menunjukkan taringnya bersama-sama White Monster, Red Monster dan juga Black Monster Isuzu Malaysia. 

 

Bagaimana pula pemanduan Blue Monster?


Hari kedua kami menginap di Inandung (Hari Keenam Borneo Safari), rombongan Monster Isuzu Malaysia membawa kami keluar seketika ke Bandar Keningau untuk tujuan pengisian bahan api serta membeli barangan keperluan. 

Ketika ini, penulis mengambil peluang untuk mencuba sendiri memandu Blue Monster di atas jalan raya Sabah yang berbukit-bukit itu setelah diberikan kebenaran. 
 


Walaupun Blue Monster kini lebih berat dengan penambahan peralatan off-road berbanding Isuzu D-Max 1.9 liter standard, namun penulis tidak mengalami sebarang kekurangan kuasa, malah enjin kecil tersebut mampu memberikan tujahan kuasa yang diperlukan oleh pemandu. 

Menurut Isuzu Malaysia, sistem pengecas turbo Variable Geometry System (VGS) juga telah diberi kemaskini dan meningkatkan maklumbalas enjin, terutama ketika RPM rendah untuk memberikan respon enjin yang lebih baik kepada pemandu.

Memandangkan penulis tidak begitu biasa dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan trak pikap, jadi penukaran gear yang dilakukan oleh penulis sedikit tidak kemas. 
 


Namun, sejujurnya penulis mengakui dengan ketinggian dan kelebaran yang bertambah, membuatkan Isuzu D-Max Blue Monster ini tampak lebih garang dan lebih tegap jika diletakkan atas jalan raya. 

Jentera Blue Monster, berserta dengan unit Red Monster, White Monster dan Black Monster (termasuk Isuzu MU-X yang tidak menyertai Borneo Safari tahun ini) merupakan sebahagian daripada komitmen Isuzu Malaysia sebagai penaja utama acara tahunan semenjak 13 tahun yang lalu. 
 


Dengan adanya jentera-jentera off-road yang disebutkan itu, wakil-wakil media tempatan diberikan peluang memanfaatkan kenderaan terbabit untuk merasai sendiri aksi pemanduan off-road yang menjadi identiti Borneo Safari semenjak penganjuran pertamanya pada tahun 1991. 

Ribuan terima kasih kepada Isuzu Malaysia kerana memberikan kami peluang untuk menyertai acara off-road tahunan yang berprestij ini, dan khusus buat warga kerja Borneo Safari dan Isuzu Malaysia, Onsoi!