Model MRG-BF1000E-1A9 edisi terhad ini hanya ditawarkan sebanyak 700 unit untuk satu dunia, dengan membawakan ciri unik seperti tali getah Dura Soft berwarna kuning atau titanium hitam.

Konsep warna kuning tersebut diinspirasikan daripada model pertama Frogman DW-6300, sementara komponen mahkota, butang dan skru pula disaduri plat ion emas.
Sama seperti mana-mana jam Frogman, penutup bahagian belakang jam tangan ini diserikan dengan kristal nilam (sapphire) yang dikemaskan dengan pemendapan wap emas, selain menampilkan ukiran katak Frogman yang ikonik.

Sementara penunjuk indeks masa pula diberikan cat kuning phosphorescent untuk memudahkan pembacaan waktu terutama ketika di bawah permukaan air atau persekitaran gelap.
Selain daripada itu, casis dan bezel MRG-BF1000E menggunakan bahan titanium yang telah melalui proses pengerasan lapisan dalaman dan salutan DLC untuk rintangan lelasan yang lebih baik.

Sama seperti jam tangan menyelam Frogman yang lain, MRG-BF1000E mempunyai ketahanan kalis air sedalam 200 meter selain daripada ciri kalis gegaran dan juga medan magnetik ISO 764.
Fungsi lain yang dimuatkan termasuklah sistem Tough Solar, pelarasan waktu radio Multi-Band 6 automatik, waktu utama dunia (300 bandar), jam randik, kiraan waktu menurun, fungsi catatan data menyelam, graf pasang surut, sokongan Bluetooth serta aplikasi Casio Watches.

Seperti yang disebutkan tadi, hanya 700 unit sahaja jam tangan Frogman MRG-BF1000E yang akan ditawarkan, dan jam tangan ini boleh didapati bermula 7 Julai 2023 ini.
Sebagai makluman, harga jualan jam tangan MRG-BF1000E di Jepun bermula dari 770,000 yen (RM25,261).