Mulai hari ini, semua tempahan baharu bagi model DBX, Vantage, DB12 dan Vanquish akan dilengkapi dengan CarPlay Ultra secara standard. Bagi pemilik sedia ada yang menggunakan sistem infotainmen generasi terkini, kemas kini ini akan diberikan secara berperingkat menerusi rangkaian pengedar rasmi Aston Martin dalam beberapa minggu akan datang.

Berbeza dengan CarPlay sebelum ini yang hanya muncul di skrin tengah, CarPlay Ultra meluaskan penggunaannya ke setiap paparan dalam kabin, termasuk kluster meter utama.

Pengguna boleh menikmati peta navigasi berskala penuh, pengurusan media, serta maklumat kenderaan terus dari paparan instrumen – menjadikan pengalaman pemanduan sepenuhnya dalam ekosistem Apple.
Antara ciri menarik yang ditawarkan termasuk:
- Pilihan rekaan meter kelajuan dan takometer yang boleh diubah suai,
- Penyesuaian tema warna, paparan latar belakang, serta widget Apple,
- Kawalan fungsi kenderaan seperti sistem pendingin hawa, radio, dan konfigurasi pemanduan – sama ada melalui sentuhan, butang fizikal atau arahan suara Siri.

Namun, Aston Martin tetap mengekalkan suis dan kawalan fizikal untuk operasi penting seperti pilihan gear, tetapan ekzos dan mod casis – satu langkah bijak demi aspek keselamatan dan kejuruteraan.
Menurut Aston Martin, CarPlay Ultra versi mereka dibangunkan secara eksklusif dengan Apple agar reka bentuk antaramuka kekal selari dengan DNA rekaan jenama British tersebut, yang dikenali dengan ciri kemewahan serta estetika elegan. Hasilnya ialah sistem infotainmen yang bukan sahaja canggih, tetapi tetap mengekalkan aura Aston Martin yang tersendiri.

Apple sebelum ini mengumumkan CarPlay Ultra pada 2022, tetapi hanya mempamerkan versi awalnya dua tahun kemudian tanpa sebarang tarikh rasmi. Kini, setelah lama menanti, versi akhir ini akhirnya direalisasikan – dimulakan dengan Aston Martin dan disasarkan untuk diperluas ke lebih banyak jenama pada masa depan.
Walaupun Porsche turut disebut sebagai rakan kongsi Apple dalam pembangunan CarPlay Ultra, tidak semua pengeluar bersetuju dengan pendekatan ini. General Motors dan Rivian, contohnya, telah memilih untuk menolak CarPlay sepenuhnya demi mengekalkan kawalan penuh ke atas sistem digital mereka sendiri.

Sebaliknya, Ferrari pula secara terbuka mengakui bahawa sistem navigasi binaan mereka tidak setanding dengan telefon pintar, dan memilih untuk menyerahkan tugas itu kepada Apple sepenuhnya.
Pelancaran awal CarPlay Ultra akan bermula di Amerika Syarikat dan Kanada, sebelum diperluas ke pasaran global, termasuk Asia, menjelang hujung tahun ini. Untuk menggunakannya, pengguna perlu memiliki iPhone 12 atau lebih baharu, serta sistem operasi iOS 18.54 ke atas.
Jika sambutan pengguna terhadap CarPlay Ultra ini mengulangi kejayaan versi asal CarPlay, tidak mustahil sistem ini bakal menjadi standard baharu dalam dunia infotainmen automotif moden, terutamanya dalam segmen mewah.
SUMBER : Motor1