Lebih menarik, supercar ini bukan datang daripada jenama arus perdana, tetapi hasil gabungan kejuruteraan Jerman, sentuhan reka bentuk Itali dan nadi Amerika.
Inilah Capricorn 01 Zagato, sebuah hypercar yang ekstrem, analog dan sangat eksklusif.
Model pertama Capricorn ini akan dihasilkan dalam jumlah yang amat terhad, hanya 19 unit sahaja, dengan tanda harga sekitar USD3.5 juta (RM13.8 juta).
Ia meletakkan Capricorn 01 Zagato terus berhadapan dengan nama-nama besar seperti Ferrari, McLaren, Bugatti, Koenigsegg dan Pagani, walaupun ini merupakan model pengeluaran pertama syarikat tersebut.
Capricorn 01 Zagato baru sahaja membuat kemunculan awam terbaharu di Salon Rétromobile di Perancis, hanya beberapa bulan selepas prototaip pertamanya diperkenalkan di Belgium.
Jika versi awal tampil dengan warna hijau Verde Knokke yang klasik bersama kabin kulit coklat, prototaip terbaharu ini memilih pendekatan lebih berani menerusi kemasan Giallo Sole kuning terang.
Bahagian dalaman pula dipadankan dengan upholsteri suede biru yang memberikan identiti visual sama sekali berbeza, lebih agresif dan moden.
Apa yang membezakan Capricorn daripada banyak projek konsep lain ialah statusnya sebagai kenderaan sebenar, bukan sekadar model pameran.
Capricorn mengesahkan kedua-dua versi yang dipamerkan adalah prototaip berfungsi sepenuhnya dan boleh dipandu, digambarkan sebagai kenderaan pembangunan yang berteraskan kejuruteraan.
Sebuah lagi unit ketiga kini sedang dibina di fasiliti Capricorn di Mönchengladbach, Jerman, memperlihatkan keseriusan syarikat ini untuk melangkah ke fasa pengeluaran sebenar.
Dari sudut reka bentuk, penglibatan Zagato jelas terpancar, Capricorn 01 membawa elemen ikonik firma Itali itu seperti bumbung double bubble, lampu hadapan berbentuk badam, serta siluet dramatik yang menekankan aerodinamik.
Ia turut menampilkan pintu jenis gullwing, flying buttress yang mengingatkan kepada Ford GT, penutup enjin berukir agresif dengan dua muncung ekzos, serta lampu belakang melintang penuh yang mengukuhkan imej futuristiknya.
Masuk ke dalam kabin, falsafah analog diterjemahkan sepenuhnya, tiada skrin besar berlebihan atau papan pemuka futuristik yang rumit.
Sebaliknya, pemandu disambut dengan meter analog sebenar, tuil gear manual gated, dan stereng bulat konvensional lengkap dengan tombol kawalan fizikal.
Dalam era stereng berbentuk yoke dan kawalan sentuh, pendekatan ini terasa hampir ‘radikal’, tempat duduk bucket moden digabungkan dengan kemasan suede biru dan gentian karbon terdedah.
Di bawah badan karbonnya, Capricorn 01 dibina di atas casis monocoque gentian karbon, dengan enjin V8 dipasang di tengah.
Ia dikuasakan nadi 5.2 liter V8 supercharged yang asalnya daripada Ford, tetapi telah melalui pengubahsuaian menyeluruh.
Hasilnya, enjin ini menghasilkan lebih 888 HP dan tork setinggi 1,000 Nm, angka yang meletakkannya dalam liga hypercar sebenar.
Dengan kuasa tersebut, Capricorn mendakwa 01 mampu memecut dari 0 ke 100 kmj dalam masa kurang daripada tiga saat, manakala kelajuan maksimum dianggarkan mencecah 360 kmj.
Semua kuasa ini disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear manual lima kelajuan, satu keputusan yang jelas menekankan pengalaman pemanduan tulen berbanding prestasi automatik semata-mata.
Dengan berat kering di bawah 1,200 kilogram, gabungan pacuan roda belakang, tork brutal dan berat ringan menjanjikan karakter pemanduan yang sangat liar dan tidak ditapis.
Penghantaran kepada pelanggan pertama dijadualkan bermula akhir tahun ini, dan menurut Capricorn, hanya tinggal beberapa unit sahaja daripada 19 yang dirancang masih tersedia walaupun harganya berada pada paras ultra-premium.
Ini menunjukkan bahawa pasaran untuk hypercar analog, manual dan eksklusif masih wujud, walaupun dalam dunia yang semakin digital dan senyap.
Walaupun Capricorn mungkin nama baharu dalam dunia kereta pengeluaran, syarikat ini bukan pemain asing dalam industri perlumbaan.
Komponen ringan yang dihasilkan oleh Capricorn sebelum ini telah digunakan oleh Porsche dalam program LMP1, Peugeot Sport di Le Mans dan Dakar, Mercedes, Lotus dan Caterham dalam Formula 1, serta Volkswagen dalam WRC.
Rekod itu sekaligus memberikan kredibiliti kukuh terhadap kemampuan teknikal mereka.
Capricorn 01 Zagato bukan sekadar sebuah supercar mahal, ia adalah pernyataan falsafah bahawa masih ada ruang dalam industri automotif moden untuk jentera yang meraikan bunyi V8, gear manual dan penglibatan pemandu sepenuhnya.
Dalam dunia yang bergerak pantas ke arah elektrifikasi, Capricorn memilih untuk melawan arus, dan bagi sesetengah penggemar automotif, itulah daya tarikannya yang sebenar.