Camper Van RM25k? Ini Alternatif Harga Marhaen

oleh DIANA ISMADI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Jika anda berselisih dengan van Ford Maxi 2.2L tahun 1990 ini di atas jalan raya atau ketika berhenti di lampu isyarat, kami jamin hangpa semua mesti tak dapat mengagak apa sudah jadi di dalam kabin van ini.

 

Pernah anda dengar skrip dalam cerita Senario, “Luar setinggan, dalam kondo”! Nahh… kami belanja anda semua, sebuah camper van old school dibikin 100% D.I.Y oleh Abang Jun.

 

Camper van RM25,000? Abang Jun buktikan memang boleh dibuat! Dengan semuanya dibikin sendiri oleh Abang Jun, beliau telah membelanjakan sekitar RM25,000 termasuk dengan harga van yang telah dibeli.

 

Ini lah cerita tentang kreativiti dan minat yang mendalam Abang Jun atau nama sebenar Zulkarnain bin Abd Aziz, anak jati Perlis.

Caravan

Abang Jun kita ni memang terer! Dengan konsep minimalis, beliau bikin camper van ini 100% hasil tangan dan titik peluh sendiri di garaj kecil beliau dalam masa dua bulan.

 

“Saya memang minat nak bina satu camper van. Sebelum nak bina, saya dah buat kajian tentang kehidupan "campervanner", lebih kurang dua tahun lebih, dan kemudian baru berani untuk bina camper van sendiri” dan mencuba kehidupan berkonsepkan minimalis atau, hidup dengan keperluan asas sahaja dan menjadi "fulltime traveller" kata beliau.

 

“Kalau saya terjumpa dengan pelancong yang mengembara dengan camper van, saya mesti akan cuba korek seberapa banyak ilmu dan maklumat daripada mereka” tambah beliau.

 

Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang dikumpul, akhirnya Abang Jun bertekad untuk merealisasikan impiannya untuk membina sebuah camper van.

 

Untuk pengetahuan, Abang Jun telah membeli van Ford Maxi tahun 1990 yang asalnya digunakan sebagai kenderaan mengangkut pekerja kilang semata-mata untuk diubahsuai menjadi camper van.

 

Fasiliti dalaman kabin

 

Bila masuk kedalam kabin, kami terpegun dengan kreativiti Abang Jun untuk menjadikan van old school ini menjadi sebuah rumah bergerak yang selesa.

 

Kabin camper van ini dilengkapi dengan ruang tempat duduk atau sofa yang boleh dilaras menjadi katil, almari baju, laci tempat simpan barang, meja makan dan tempat duduk, sinki air, dapur mini, dan awning di bahagian luar.

Camper van

 

Antara material yang digunakan untuk interior dalaman adalah dari jenis kayu yang ringan dan berkualiti tinggi supaya dapat mengurangkan berat camper van ini.

 

Bukan itu sahaja, segala aksesori di dalam kabin juga boleh dibuka, dan dipasang semula jika perlu digunakan untuk mengangkut barang.

 

Ia turut dilengkapi dengan televisyen dan pemain DVD, pendingin hawa, wifi, dan“exhaust fan” pada siling kenderaan.

Camper Van

Yang menariknya, kenderaan ini turut menggunakan kuasa solar untuk menjana tenaga elektrik bagi menampung penggunaan televisyen dan sebagainya.

Camper vAN

 

Tidak dilupakan, perkara terpenting iaitu dari segi aspek keselamatan. Camper van ini turut dilengkapi dengan dua set alat pemadam api, sistem elektrik yang lengkap dengan “switch cut off” dan fius-fius sekiranya berlaku litar pintas dan sebagainya.

camper van

Camper ini telah melalui proses pengubahsuaian sebanyak dua kali. Menurut Abang Jun, “setelah saya mengembara dengan camper van ini ke beberapa lokasi, baru saya belajar apakah fasiliti yang diperlukan mahupun yang tidak diperluan di dalam camper van”.

 

Dan kini, camper van ini mempunyai fasiliti yang sempurna dan sudah bersedia untuk mengembara ke mana sahaja.

 

Lokasi pengembaraan

 

“Kami dah pusing satu Malaysia. Jika Thailand, kami sudah pergi ke Phuket dan Koh Samui. Perjalanan kami bersama camper van ini dah lebih kurang 5,000 km” kata Abang Jun.

 

Selain itu, beliau turut mempunyai perancangan untuk jelajah Indo China bersama isteri.

 

Apabila ditanya apakah keseronokkan memiliki camper van ini, beliau berkata mengembara dengan rumah bergerak ini beri kami lebih kebebasan.

camper van

“Kami tak perlu fikir nak cari penginapan dan boleh masak sendiri. Bagi saya “The world is our backyard”, dan saya boleh pergi ke mana sahaja dengan kos yang minimum” kata beliau.

 

Cabaran yang dihadapi

 

Di sebalik keseronokkan memiliki dan mengubahsuai van ini, terdapat beberapa halangan dan cabaran yang ditempuh beliau dan pastinya pemilik-pemilik camper van lain di negara ini.

 

“Di Malaysia, sumber rujukan mengenai camper van sangat terhad. Jadi saya lebih banyak belajar dan mendapatkan maklumat dari internet” kata beliau.

 

Selain dari kekurangan sumber rujukan, beliau juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan aksesori bagi proses pembikinan camper van ini.

 

Jadi beliau terpaksa menempah barangan yang diperlukan dari luar negara atau beliau menggunakan sumber yang ada dan mengubahsuainya mengikut kreativiti dan kepeluan.

 

Antara cabaran yang ditekankan oleh beliau adalah penerimaan “sub-culture” camper van di negara ini.

camper van

“Jika di negara Eropah, kawasan pantai dan dalam hutan merupakan tempat yang biasa untuk camper van singgah”

 

“Tapi bila saya parkir van saya di tepi pantai ketika di Terengganu, akan ada saja mata-mata yang memandang meragui kewujudan kami, seperti kami ini penjanayah” kata beliau.

 

Perancangan masa hadapan

 

“Saya sedang mencuba untuk mencadangkan dan minta Perbadanan Kemajuan Negeri Perlis (PKNP) untuk beri kami lokasi di Timah Tasoh untuk dijadikan taman rekreasi khas untuk camper van atau RV Park”.

 

Kini beliau juga sedang merancang untuk mengadakan Jambori Camper Van di Fraser Hill bersama komuniti pemilik camper di Malaysia.

 

Bagi anda yang berminat untuk mengubahsuai van anda menjadi camper van, Abang Jun turut menawarkan servis ubahsuai mengikut citarasa dan juga bajet anda.

 

Lebih mampu milik untuk semua yang berminat. Maklumlah, nak beli sebuah camper van baharu harganya dah cecah seperti nak bayar sebuah banglo.

 

“Saya tawar servis ubahsuai ini kerana ramai orang nak mengembara dengan bajet yang lebih kecil, jadi kita boleh ubahsuai mengikut bajet dan permintaan” kata beliau.

 

Untuk maklumat lanjut anda boleh menghubungi Abang Jun di talian 017-4979960 atau Facebook https://www.facebook.com/zulkarnain.a.aziz.

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Malah kita juga dapat menyaksikan beberapa pihak sudah pun mula membawa masuk model-model caravan/…
Gaya Hidup
Salah satu daripadanya ialah Knaus Tabbert yang sudah pun rasmi menerima penganugerahan Sijil…
Berita Global
Idea tersebut dicetuskan oleh sebuah syarikat Jerman Schneider Caravaning yang mengilhamkan…