Camber bolt - patut ditukar atau dongeng kedai?

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Antara ayat lazim jika kita ke kedai tayar untuk melakukan penjajaran dan imbangan ialah "Boss, you punya camber sudah lari, kena tukar".

Camber, atau lebih popular di Malaysia sebagai chamber, ialah istilah bahasa yang merujuk kepada sudut miring roda itu.

Yang sering diminta ganti ialah bolt yang mengubah sudut miring roda itu dan selalunya ia adalah sebuah bolt bengkok yang datang sendiri tanpa apa-apa pakej atau kotak - yang bermakna ia dibuat sendiri di kilang-kilang atau kedai engineering tempatan.

Ia juga bermakna tidak ada piawaian kualiti dan tiada waranti jika ia patah.  
 


Editor Teknikal Careta, Syammim Noori Arifin, pakar sistem gantungan di Magna Steyr Engineering, Shanghai memberikan pendapat beliau.

Seperti pelbagai komponen aftermarket yang lain, jawapan samada ia berguna atau tidak bergantung kepada keadaan. 

Cuma sebelum kita bersetuju dengan cadangan mekanik untuk menggunakan camber bolt, ada beberapa persoalan yang harus kita fikirkan.  
 

1. Apa benarkah mesin yang digunakan kedai beliau itu tepat? 

Seperti mesin-mesin pengukur yang lain, mesin penjajaran roda perlu kalibrasi. 

Sayang sekali tidak ada mana-mana agensi kerajaan yang melihat kepada masalah ini dan pengguna hanya mampu bertawakal bahawa mesin itu tepat. 

 

2. Apakah mesin pengukur itu mempunyai fungsi "run out"? 

Jika mekanik anda berkata ya, pastikan proses run-out telah dilakukan dahulu. 

Run-out merujuk kepada jumlah kegelongan yang ada pada roda. Ini bermakna jika roda anda tidak gelong atau bengkok, mungkin sudut camber sudah berubah kerana roda yang bengkok tidak akan memberikan sudut camber dan toe yang tepat. 

Proses run-out melibatkan roda dipusing lebih kurang setengah pusingan untuk direkodkan purata sudut yang disebabkan oleh kegelongan roda, dan kemudian jumlah purata ini akan diambilkira sewaktu mesin mengukur sudut-sudut wheel alignment. 

Jika mekanik itu tidak tahu apa itu fungsi run-out, sila run away dari bengkel beliau.  
 


3. Adakah mesin itu membuat pengukuran berdasarkan spesifikasi yang sesuai dengan kenderaan anda? 

Setiap pengeluar mempunyai spesifikasi mereka yang tersendiri dan mesin penjajar yang mempunyai maklumat yang tepat tahu akan spesifikasi penjajaran yang betul untuk kenderaan anda. 

Periksa dan tanyakan adakah dia mempunyai spesifikasi untuk kenderaan anda. Minta dia tunjuk pada skrin komputer mesin tersebut. 

 

4. Adakah mekanik itu berkongsi pengukuran penjajaran roda kenderaan anda? 

Pastikan mekanik itu menerangkan sudut camber yang diukur pada kenderaan anda dan bandingkan pada kedudukan spesifikasi asal untuk kenderaan anda. 

Semuanya ada pada skrin komputer. Jika beliau cuma menunjukkan pada bunga tayar anda yang makan sebelah, suruh dia periksa tekanan angin bersama anda kerana tekanan angin yang tidak betul boleh mengakibatkan bunga tayar makan tidak sekata. 

Agak sukar untuk mencari kedai yang menjual set camber bolt yang berjenama. 
 

Jika ada, itu yang terbaik kerana ia dibuat dengan cara piawaian yang betul. 
 


Sekiranya penggunaan camber bolt tetap tidak menyelesaikan masalah anda selepas beberapa bulan, ia mungkin bermakna masalahnya lebih serius - lengan sistem gantungan sudah bengkok, pemegang penyerap hentak sudah berubah tempat, kelegaan bumi yang berbeza antara roda kiri dan kanan atau ada bolt-bolt pada sistem gantungan yang sudah longgar. 

Apa pun, untuk kederaan-kenderaan pacuan roda depan generasi terkini yang popular yang menggunakan topang MacPherson, sudut camber sewaktu kereta kosong (beban tanpa muatan) biasanya dalam positif 0.2 darjah hingga negatif 0.5 darjah, dengan julat toleran yang dibenarkan dalam 0.5 darjah. 

Kereta gaya stance memang mahukan camber negatif ekstrem - tetapi ia hanya untuk gaya, dan tidak sesuai untuk dipandu laju atau dibawa ke litar. 

Ini hanyalah nilai-nilai am yang biasa digunakan. Jadi pastikan nilai camber yang diukur jatuh dalam julat yang disyorkan pihak pembuat kenderaan kerana julat ini sudah tentunya tidak memberikan masalah besar dari segi prestasi pemanduan dan ketahanan. 
 


Kecualilah jika anda seorang yang amat teliti dan memberatkan kejituan sudut setiap roda pada kereta anda, atau kereta anda digunakan dalam acara-acara kompetitif. 

Dan ada kenderaan yang memang sudah siap sedia dengan bolt camber atau shims (pelapis) bolehlaras di belakang, contohnya Proton Waja, Proton Wira dan Proton Preve. 

Oleh itu, tanyakan kepada mekanik kenapa perlu ditukar camber bolt sedangkan alat itu sudah ada. sama seperti pengukur lain - ia perlu dipantau dan diperiksa setiap enam bulan. 

Dalam masa yang sama, Careta ingin meminta agensi kepenggunaan negara seperti KPDNKK agar turun dan memantau bengkel-bengkel dan kedai-kedai tayar di negara ini. 

Industri itu sebenarnya tidak ada badan kawalan dan piawaian dan kerana itu, walaupun ada harga yang ditetapkan oleh persatuan mereka, kualiti mekanik masih lagi menjadi tanda soal besar. 

Walaupun industri perkilangan automotif kita semakin moden, industri perkhidmatan lepas jualan masih ditakuk zaman Datsun 120Y - lapuk.   

Untuk mengenali Syammim, baca artikel mengenai pakar pengendalian negara yang dahulu bertugas di Proton dan kini bekerja di China dalam artikel ini   

Berita Berkenaan

Tekno Careta
    Syammim Noori Arifin, pakar sistem gantungan di Magna Steyr Engineering, Shanghai…