General Motors (GM) baru-baru ini telah memberi bayangan bahawa kisah Camaro belum lagi berakhir.
Menurut laporan terkini, sebuah sedan sporty mungkin bakal menggantikan tempat model coupe yang telah ditamatkan itu, dan ia dijangka muncul sebelum hujung dekad ini.
Chevrolet secara rasmi menamatkan produksi Camaro generasi keenam pada tahun 2024, sekali gus menutup satu bab penting dalam sejarah prestasi mereka.
Namun tidak lama kemudian, Presiden GM, Mark Reuss menyuntik harapan apabila menyatakan bahawa nama Camaro mungkin akan dihidupkan semula sebagai sebuah EV mampu milik.
Dalam satu temubual terbaharu bersama The Detroit News, Reuss menyifatkan elemen penting bagi sebuah Camaro baharu adalah “kecantikan, sedikit fungsi dan keseronokan,”.
Dengan pasaran kereta muscle dua pintu di US yang semakin mengecil, kenyataan ini menunjukkan kemungkinan besar bahawa Camaro baharu mungkin akan tampil dalam bentuk lebih praktikal.
Menurut laporan Auto News, Chevrolet kini sedang membangunkan sebuah sedan berperwatakan sporty yang dijangka debut seawal 2028, bagaimanapun maklumat teknikal masih belum jelas, begitu juga kaitan rasmi model itu dengan nama Camaro.
Namun, tidak sukar untuk membayangkan reka bentuk berinspirasikan warisan kereta muscle dipadankan dengan bentuk empat pintu, formula yang berpotensi untuk menyaingi model seperti Dodge Charger.
Dengan bentuk empat pintu, model baharu itu bukan sahaja boleh menggantikan Camaro, malah turut mengambil tempat Chevrolet Malibu yang juga telah dihentikan produksinya.
Dari segi trenkuasa pula, petunjuk pasaran menunjukkan bahawa Chevrolet mungkin akan memilih sistem hibrid, berbanding EV sepenuhnya.