Calya/Sigra facelift dilancarkan di Indonesia - Axia tujuh tempat duduk dengan muka baharu

oleh Mohamad Hanif|
Sementara itu, di negara jiran kita Indonesia, Toyota Astra Motor dan Astra Daihatsu Motor baharu sahaja melancarkan model facelift berkembar, iaitu Toyota Calya dan Daihatsu Sigra.

Buat mereka yang tidak arif, Toyota Calya dan Daihatsu Sigra merupakan Perodua Axia versi tujuh tempat duduk yang dikelaskan di bawah Low Cost Green Car (LCGC) menurut regulasi Indonesia. 

Ini bermakna, kedua-dua model ini bersaing secara terus dengan Datsun Go+ yang turut dijual di negara tersebut. 

Selain popular dijadikan sebagai kereta pertama keluarga, Toyota Calya dan Daihatsu Sigra juga merupakan pilihan utama bagi mereka yang membuat perkhidmatan seru pandu (e-hailing).
 


Setelah tiga tahun, versi facelift diberikan kepada kedua-dua model popular ini supaya ia menjadi lebih malar segar seiring dengan peredaran masa. 

Antara perubahan yang dibawakan adalah penggunaan lampu utama jenis LED untuk sesetengah varian, menjadikan Calya dan Sigra model LCGC pertama yang menerima ciri sedemikian. 

Reka bentuk kedua-dua model ini juga turut berubah, dengan penampilan bumper hadapan yang baharu, kemasan krom di bahagian belakang yang lebih lebar serta tiang B dan C yang diwarnakan hitam bergantung kepada varian yang ditawarkan. 
 


Perbezaan antara kedua-dua model kembar ini lebih ketara di bahagian dalaman di mana Toyota Calya menampilkan interior yang lebih gelap, manakala Daihatsu Sigra pula tampil dengan rekaan warna dua tona yang lebih cerah. 

Kedua-dua model Toyota Calya dan Daihatsu Sigra kini menerima rekaan tombol pendingin hawa yang lebih baharu, slot pengecasan, laci tambahan di bawah tempat duduk hadapan, serta unit hiburan skrin sentuh baharu 2DIN yang diperoleh daripada Toyota Veloz. 
 


Unit enjin Calya pula masih kekal dengan nadi 3NR-VE empat silinder sebaris 1.2 liter Dual VVT-i yang mampu menjana 88 PS dan 108 Nm yang dipadankan dengan manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan. 

Sementara itu, dua varian terendah Daihatsu Sigra pula ditawarkan dengan enjin 1KR-VE 1.0 liter tiga silinder sebaris berkuasa 66 PS dan 89 Nm. 

 


Harga jualan bagi Toyota Calya bermula dari Rp 137.4 juta (RM40,853) sehinggalah Rp 158.4 juta (RM47,097) manakala Daihatsu Sigra pula sedikit murah, bermula dari Rp 114 juta (RM33,896) untuk varian 1.0 sehinggalah kepada Rp 154.8 juta (RM46,012). 

Sumber: Autonetmagz 1, 2

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Global
Dua tahun lalu, kerajaan Indonesia memperkenalkan konsep LCGC atau Low Cost Green Car untuk…