Untuk mengatasi masalah tersebut, kita sememangnya sudah perlu mula memperkenalkan kaedah bayaran yang digelar sebagai caj kesesakan (congestion charge).
Caj kesesakan ini sebenarnya sudah lama dilaksanakan di bandar-bandar utama di luar negara, contoh yang terdekat seperti di Singapura.
Malah, negara-negara Eropah juga turut melaksanakan kaedah sebegini bagi menangani dan mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di bandar-bandar utama.
Jadi, adakah warga ibu kota bersedia untuk berdepan dengan caj kesesakan sekiranya ia benar-benar dilaksanakan kelak?
Bercakap kepada Bernama, Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Madya Marlina Suzana Jaafar berkata masyarakat perlu sedar kenderaan pensendirian merupakan penyumbang utama kepada kadar kesesakan yang semakin meruncing ini.
Tambahnya, penambahan laluan atau pelebaran jalan raya bukanlah satu penyelesaian untuk mengurangkan kesesakan, malah ia akan menambahkan lagi bilangan kereta persendirian sekaligus memburukkan situasi.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Safizahanin Mokhtar turut berkongsi pandangan yang sama dengan menyarankan kajian menyeluruh dan projek perintis caj kesesakan perlu dilaksanakan terlebih dahulu seperti yang dilakukan di bandar utama luar negara.
“Mengambil contoh pelaksanaan caj kesesakan di kota London, ia mengambil tempoh 10 tahun kajian terperinci termasuk mengkaji pergerakan pengguna dari lokasi tertentu dan diikuti beberapa kawasan dipilih untuk dilaksanakan percubaan projek itu.
“Pada awalnya ada bantahan, namun perlaksanaan itu dilakukan secara perlahan sehingga pengguna sendiri merasai impak iaitu pengangkutan awam bas secara tiba-tiba lebih efektif mengikut jadual perjalanan kesan tiada kesesakan trafik, sekali gus memupuk pengguna memilih mod pengangkutan alternatif,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata kerajaan dijangka mempertimbangkan melihat semula struktur bayaran meletak kereta di dalam bandar setelah projek Transit Aliran Massa (MRT) 3 siap kelak.
Ini termasuk melihat keperluan untuk mengenakan fi alam sekitar dan bayaran kesesakan kenderaan apabila sistem jaringan pengangkutan awam yang sudah lengkap diwujudkan.
Persoalannya, bersediakan warga ibu kota? Atau mereka masih lagi selesa dengan kereta masing-masing sehinggakan sanggup berhabis dua tiga jam di dalam kesesakan trafik?
Sumber: Bernama