Data-data dari sesetengah bandaraya dunia itu kini telah mula muncul dan kita lihat kejayaan dan juga kegagalan dari sistem-sistem tersebut.
Kajian-kajian ini boleh digunakan untuk kita menilai samada ia boleh digunakan di negara kita atau tidak.
Mahu atau tidak, sesuatu perlu dilakukan dan apa yang telah dilakukan di negara lain boleh membantu di dalam penilaian kita.
New York
Januari lalu PBT New York memperkenalkan bayaran kesesakan (congestion charges) sebanyak US$9 (RM38) sehari untuk masuk ke beberapa kawasan di Manhattan.
Hasilnya, masa pergerakan trafik di beberapa laluan utama di kawasan itu menurun, walaupun ketika waktu hujung minggu.
Antara apa yang berlaku ialah ramai yang meimilih untuk menggunakan pengangkutan awam dan ramai yang membatalkan perjalanan untuk perkara yang kurang penting.
Paris
Datuk Bandar Anne Hidalgo memperkenalkan batasan halaju ke 50 kmsj di bandaraya itu pada bulan Oktober 2024.
Usaha ini ditentang keras oleh Menteri Pengangkutan dan juga pihak pembangkang tetapi selepas lima bulan, kualiti udara didapati meningkat baik sebanyak 12 peratus dan peratusan kemalangan trafik menurun sebanyak 17 peraatus berbanding dengan tahun lalu.
Hidalgo juga akan memperkenalkan satu lagi undang-undang baharu yang akan mengenakan penalti atau denda sebanyak €135 (RM651) untuk kenderaan yang melalui kawasan pusat bandar untuk ke kawasan lain.
Penduduk sekitar, pekerja di kawasan itu dan teksi akan dikecualikan dari undang-undang itu tetapi untuk kenderaan lain, denda yang tinggi itu akan memaksa mereka mencari laluan lain untuk menyeberangi pusat bandar.
Ini ialah umpama seperti jika anda dari Subang Jaya dan anda mahu ke Gombak, anda tidak boleh masuk merentas pusat bandar Kuala Lumpur tetapi perlu menggunakan MRR 2 untuk ke destinasi anda.
London
Setelah lebih lima tahun, kawasan program ULEZ (zon pencemaran udara ultra rendah) yang diperkenalkan di bandaraya London sudah semakin meluas hingga melitupi kawasan sebesar 1,554 km.
Ia bermakna sekiranya anda memandu kenderaan dengan enjin lama, anda perlu membayar fi. Secara ringkas, enjin petrol perlulah yang bertaraf Euro 4 ke atas, enjin diesel pula Euro 6 ke atas dan untuk motosikal, Euro 3 ke atas.
Fi yang dikenakan ialah £12.50 (RM75) sehari dan jika tidak dibayar, penalti sebanyak £180 (RM1,080) akan dikenakan.
Mac lalu, hasil kajian mendapati penurunan antara 33 ke 39 peratus untuk bahan pencemar udara nitrogen oksida yang menyebabkan penyakit lelah dan sebagainya.
Pengunjung kedai-kedai di dalam zon ULEZ yang dijangka akan terjadi juga terbukti tidak berlaku.
Sekarang, hampir 97 peratus kenderaan yang melalui pusat bandar ialah dari kenderaan yang menurut piawaian pelepasan asap yang ketat itu. Van perdagangan yang dikatakan degil untuk bertukar itu juga kini sudah mencapai kadar kepatuhan setinggi 90 peratus.
Warga London kini boleh menghela udara yang lebih bersih sekarang.
Singapura
Jiran paling hampir dengan Malaysia ini sebenarnya ialah juara di dalam kategori Caj Jalan Eletronik (ERP atau Electronic Road Pricing) sejak ia diperkenalkan dalam tahun 1998.
ERP ialah satu sistem di mana semua kenderaan perlu dipasang dengan alat seperti Smart Tag tetapi tidak seperti Smart Tag, alat yang dipasang di kenderaan Singapura (termasuk motosikal) menggunakan kuasa dari sistem kenderaan sendiri dan ia berfungsi.
Pengesan kenderaan akan dipasang di palang-palang di kawasan-kawasan yang disasarkan dan sekiranya kenderaan itu masuk ke kawasan tersebut, sistem itu akan mengenakan bayaran fi yang sepatutnya.
Fi yang dikenakan pula tidak tetap dan ia akan berubah mengikut hari, lokasi dan keadaan trafik. Bayaran fi akan meningkat pada waktu puncak dan ia akan menurun atau dibatalkan terus pada waktu bukan puncak.
Cara di mana harga fi ini bergantung kepada keadaan trafik sangat berkesan dan adil.
Contohnya, selepas ERP diperkenalkan di Central Expressway, trafik semasa waktu puncak menurun sehingga 15 peratus dan purata kelajuan kenderaan meningkat dari 30 kmsj kepada lebih 45 kmsj, menunjukan aliran trafik yang semakin lancar.
Dalam tahun ini, Singapura akan memperkenalkan sistem ERP yang tidak lagi menggunakan palang di atas laluan tetapi digantikan dengan satelit agar kiraan fi akan menurut jarak perjalanan yang lebih tepat.
Malaysia pula telah berjaya untuk menukarkan terma Multi Lane Free Flow ke Multi Lane Fast Flow dan sekarang masih giat untuk berfikir alasan-alasan kenapa projek itu tidak bergerak.
Jakarta
Dalam tahun 2016, Jakarta memperkenalkan sistem Ganjil Genap di mana kenderaan dengan nombor plet berakhir dengan nombor ganjil hanya dibenarkan masuk ke pusat bandar pada tarikh ganjil dan nombor genap pada hari genap.
Contohnya, pada tarikh 1 hb, hanya kenderaan dengan plet berakhir dengan nombor 1,3,5,7 dan 9 sahaja yang dibenarkan masuk.
Ia hanya terpakai kepada kenderaan milik persendirian dan usaha ini berjaya pada jalan-jalan yang digazetkan.
Semasa Asian Games dalam tahun 2018, jumlah trafik di laluan yang menggunakan sistem tersebut menurun sebanyak 20 peratus dan kelajuan kenderaan meningkat sebanyak 46 peratus.
Sayangnya sekarang, sistem itu seperti tidak lagi berjaya kerana tidak ada perubahan pada skala pencemaran udara dan penduduk Jakarta hanya perlu membeli sebuah lagi kenderaan dengan plet yang lain untuk memastikan mereka boleh masuk tanpa halangan.
Ada juga yang mencelah masuk menggunakan laluan yang tidak digazetkan.
Akhirnya, sistem ini dianggap tidak begitu berjaya dan sedang dikaji semula.
Kuala Lumpur
Kesesakan trafik di Kuala Lumpur masih belum mencapai tahap kronik seperti di Bangkok atau di Indonesia. Namun begitu, ia semakin meruncing.
Setakat ini, tidak ada cadangan konkrit untuk memperkenalkan sebarang cara untuk mengurangkan kemasukan kenderaan ke pusat bandaraya Kuala Lumpur.
Ia pastinya akan ditentang keras dan akan menguji kekuatan politik mana-mana pemimpin.
Cuma dengan pilihanraya yang masih jauh, sebarang perubahan yang dilakukan sekarang akan menunjukan impak yang positif dalam tempoh beberapa tahun lagi, menjadikan sekarang masa yang paling sesuai untuk berbuat sesuatu.