Model tahun 2013 ini boleh didapati menerusi laman web Bring A Trailer di mana berdasarkan keterangan wagon ini sah memiliki kuasa yang amat mengkagumkan, 781 hp dan daya kilas 1,016 Nm!

Enjin sedia ada berkapasiti 6.2 liter bentangan V8 dengan bantuan supercharger itu nampaknya masih belum cukup, jadi untuk mencapai 781 hp beberapa modifikasi telah dibuat dengan senarai yang amat panjang, sebelum diakhiri dengan keupayaan untuk menghirup bahan api E85.
Untuk menjadi sebuah wagon yang jahat, bahagian luaran CTS-V ini dicat hitam Black Diamod Tricoat, sebelum diserikan dengan splitter dan hud daripada gentian karbon, rim Vossen 20 inci serta tayar Michelin Pilot Sport 4S.

Untuk ruang yang selesa menempatkan keluarga, terdapat tempat duduk Recaro balutan kulit Ebony dengan ciri ventilasi dan pemanas terbina, sistem kawalan iklim dua zon automatik, bantuan mula jarak jauh, sistem navigasi, serta sistem audio kustom Audison dengan aplifier berkuasa 1,000 watt.
Berdasarkan senarai di Bring A Trailer, anda memerlukan sekurang-kurangnya $59,200 (RM246,094) untuk membawa pulang wagon jahat pantas ini.
Sumber: Bring A Trailer