Cadillac Celestiq EV 2024 - sedan mewah 600 hp, 0-96 kmsj 3.8 saat, jarak gerak 483 km

oleh Mohamad Hanif|
Sedan liftback lima pintu futuristik yang anda lihat di dalam artikel ini merupakan sebuah Cadillac Celestiq EV 2024 yang baharu sahaja dilancarkan, merangkap model mewah bertaraf mercu yang dihasilkan oleh Cadillac.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Versi produksi ini menampilkan sistem motor elektrik berkembar, sistem pacuan semua roda, kuasa sekitar 600 hp dan 867 Nm dengan pecutan 0-100 km/j sepantas 3.8 saat.

Pek bateri berkapasiti 111 kWh pula membolehkan Cadillac Celestiq ini mencapai jarak pemanduan sejauh 483 km untuk sekali cas penuh, namun ia hanya menyokong pengecasan pantas DC sehingga 200 kW sahaja.
 

EV


Namun menurut Cadillac, pengecasan selama 10 minit mampu menambah 126 km kepada jarak gerak sedia ada.

Sebagai sebuah model mewah paling tertinggi, Cadillac mendatangkan ciri termaju termasuklah sistem suspensi udara adaptif dengan kawalan magnetik, sistem stereng gandar belakang aktif, teknologi kawalan olengan aktif, serta stereng berkuasa elektrik adaptif.

Menariknya, model flagship ini menampilkan 115 komponen yang dihasilkan menggunakan teknik percetakan 3D termasuklah suis tingkap, pemegang pintu, serta dekorasi konsol.
 

EV


Reka bentuk luaran Celestiq EV ini nyata unik, dengan rekaan sedan fastback lima pintu yang menampilkan binaan gentian karbon ringan, binaan jeriji tertutup sepenuhnya, serta unit lampu utama Digital Micromirror Device yang mempunyai 1.1 juta piksel setiap satu.

Binaan bumbung kaca pula dibahagikan kepada empat zon yang berbeza, di mana ia menggunakan teknologi suspended particle device untuk melaraskan amaun cahaya yang masuk ke dalam ruang kabin.

Selain daripada itu, terdapat juga spoiler aktif belakang, bukaan pintu berkuasa, rim aluminium tempa bersaiz 23 inci dengan balutan tayar Michelin Pilot Sport EV.
 

EV


Ruang kabin pula nyata lebih ringkas, dengan kehadiran skrin memanjang sebesar 55 inci di atas papan pemuka, skrin Front Command Center 11 inci pada konsol tengah, skrin Rear Command Center di belakang bersaiz lapan inci, serta tambahan dua lagi skrin paparan infohibur untuk penumpang belakang sebesar 12.6 inci.

Cadillac Celestiq EV didatangkan dengan kawalan iklim empat zon, upholsteri kulit yang dibalut menggunakan tenaga tangan, aksen logam, sistem pencahayaan yang terdiri daripada 450 LED, sistem audio AKG dengan 38 (!) pembesar suara, tempat duduk dengan ciri pemanas dan penyejukan, dan bermacam-macam lagi ciri mewah.

Sedan mewah ini dijangka akan mula diproduksikan dalam jumlah yang sangat sedikit pada Disember 2023 dengan harga jualan sekitar $300,000 (RM1.4 juta).