Cadangan hadkan kelajuan motosikal kecil kepada 70 kmsj - salah siapa? 

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Baru-baru ini Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Rosli Isa mencadangkan kelajuan maksimum motosikal di bawah 150 cc dihadkan kepada 70 kmsj.

Rosli berkata cadangan itu berdasarkan kadar kematian kemalangan di kalangan pengguna motosikal yang terlalu tinggi.

Dalam tahun 2018, 60 peratus dari 6,742 kemalangan maut terdiri dari penunggang motosikal dan pemboncengnya.

Sebelum itu, sebuah kumpulan Whatsapp yang menggelarkan diri mereka Safety First mencadangkan kepada Anthony untuk membataskan motosikal kepada laluan paling kiri sekali.

Menurut laporan Bernama, kumpulan seramai 500 orang itu berkata cadangan itu ialah untuk menurunkan kadar kematian di kalangan penunggang motosikal.

Anthony mengakui menerima kedua-dua cadangan itu tetapi berkata kajian perlu dilakukan terlebih dahulu.

 

 

"Memang jika kemalangan maut di kalangan pengguna motosikal boleh diturunkan, kadar kematian pengguna jalanraya negara pasti akan menurun," ujarnya kepada Bernama.

"Tetapi kita perlu kaji cadangan-cadangan tersebut kerana yang penting ialah bagaimana kita mahu laksanakannya."

Laporan ini mendapat kecaman hebat dari kalangan pengguna dan peminat jentera roda dua itu.

Sebenarnya, saya sendiri terkilan dan sedikit marah kerana kelajuan 70 kmsj itu terlalu rendah dan menjadi merbahaya apabila kereta, trak pikap, bas dan lori rata-rata memandu di atas kelajuan tersebut.

Ini ditambah dengan rekabentuk jalanraya di bandar-bandar Malaysia yang membolehkan kenderaan dipandu laju.

 

 

Perbezaan kelajuan yang besar di antara kenderaan ialah antara punca kemalangan jalanraya, dan jika kenderaan yang perlahan itu pula bersaiz kecil, risiko perlanggaran semakin tinggi, terutama di sebelah malam.

Saya juga merasa terkilan kerana pihak kerajaan Malaysia sangat tidak berminat dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran.

Bilakah kali terakhir anda milhat poster Kempen Membeli Barangan Tempatan?

Poster Kempen Jangan Buang Sampah Merata-rata?

Kempen Keselamatan Jalanraya? 

Di negara jiran, segala jenis kempen giat dilakukan, termasuk kempen membaca dan kempen cintai bahasa kebangsaan.

Di Malaysia, kempen cuma sekadar peringkat perasmian dan selepas itu ia dilupakan.  

Penguatkuasaan? Hmmm ...  bila kali terakhir anda mendengar orang disaman kerana membuang sampah? 

 

 

Namun begitu, saya tidak menafikan punca cadangan-cadangan anti motosikal ini timbul. 

Mereka itu sudah muak dan jelak dengan perangai segelintir penunggang motosikal dan jumlah kematian itu bukanlah sesuatu yang diada-adakan.

Jika kita duduk dan fikirkan sejenak, setiap hari semakin ramai penunggang motosikal yang mengamalkan cara menunggang yang tidak berdisiplin dan merbahaya.

Contohnya, kita boleh lihat sendiri tabiat-tabiat ini:

  • Melanggar lampu isyarat tanpa takut. Jika di-hon, kita yang diherdik.
  • Memotong di selekoh simpang pada sebelah kiri. Bila dilanggar, kita dipanggil pemandu buta.
  • Mencilok di antara kenderaan pada kelajuan yang sangat tinggi dan tidak membenarkan kenderaan lain untuk bertukar lorong, tetapi mereka boleh.
  • Menunggang laju di kawasan sekolah, masjid, di kawasan awam yang sibuk dan di hadapan balai polis pun.
  • Menunggang dengan perlahan di antara lorong laju dan perlahan.
  • Berlumba dan melakukan aksi stunt dan upload video di dalam media sosial tanpa rasa bersalah, seolah-olah itu hak mereka untuk menjadikan jalanraya tempat bermain.
  • Konvoi dalam cara yang merbahaya.

Saya pasti akan ada suara berbunyi yang mengatakan pemandu kenderaan lain juga melakukannya tetapi itu ialah sikap kurang matang - bila ditegur, cuba menunjukan orang lain juga bersalah. 

 

 

Perbuatan memaki hamun kerana ditegur tidak akan membawa sebarang kebaikan, malah akan menyemarakan lagi api kebencian mereka dan mempercepatkan kewujudan undang-undang drastik itu.

Ini mengingatkan saya kepada pemandu-pemandu lori yang berang kepada saya kerana "menangkap" rakan mereka memandu secara merbahaya di dalam video.

Mereka "marah" kerana hak mereka untuk melakukan kesalahan dipertikaikan. Malah di mana-mana platform media sosial, sebarang teguran kepada kesilapan pemandu lori akan "diserang".

Beberapa tahun dahulu, saya tergelak membaca satu laporan berita di mana pelajar-pelajar sebuah kolej di India membuat rusuhan kerana menentang larangan mereka meniru di dalam peperiksaan.

Nampaknya sekarang saya tak boleh gelak lagi kerana di negara Malaysia pun sudah wujud manusia seperti pelajar-pelajar itu.

Dalam masa kita mahukan yang terbaik untuk anak-anak kita, cuba renungkan apa yang kita sedang lakukan.

Wallahullam.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Segmen tradisional atau lebih tepat lagi motosikal berenjin pembakaran dalaman di Vietnam kini…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, seorang suspek…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Azman Mat Kamis, berkata siasatan awal mendapati ketika…