Cadangan had laju motor kapcai tidak relevan

oleh Mohamad Hanif|
Cadangan mengehadkan kelajuan motosikal berkapasiti kecil atau kapcai kepada 70km/jam dilihat tidak relevan untuk dilaksanakan dalam mengurangkan kes kemalangan melibatkan penunggang motosikal di negara ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Perunding keselamatan jalan raya, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, secara asasnya cadangan itu mungkin boleh digunakan untuk tempoh jangka pendek, tetapi bukan bagi penyelesaian menyeluruh.

Menurutnya, penguatkuasaan bukan jalan terbaik dalam menangani isu keselamatan di jalan raya, sebaliknya apa lebih penting adalah pendidikan kepada orang ramai.

"Saya rasa pihak yang memberi cadangan ini telah fokus kepada benda yang salah. Kita sepatutnya memberitahu mereka (dengan cara mendidik) mengapa memandu laju itu salah.

"Kalau kita (ambil tindakan) sekat kelajuan motosikal ini dengan cara hadkan kelajuan, saya yakin mereka bukan sahaja akan memberontak tetapi akan cari jalan untuk ubah suai motosikal jadi lebih laju.

"Jadi pada saya kita jangan fokus kepada benda salah (cadangan tidak masuk akal). Memang betul penguatkuasaan sangat bagus namun kita kena pastikan ada orang yang hendak pikul tugas itu," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini semalam.

Tengku Marwan yang juga Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor itu berkata, memberi didikan tentang isu keselamatan di jalan raya kepada orang ramai merupakan jalan penyelesaian terbaik untuk jangka masa panjang.
 


Katanya, pendidikan sangat penting bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mematuhi had laju yang ditetapkan.

"Pada pendapat saya, sudah tiba masanya kerajaan perlu memperuntukkan masa dan wang yang lebih untuk kerahkan tenaga bagi mendidik masyarakat.

"Justeru, besar harapan saya untuk melihat kerajaan memberi fokus kepada mendidik masyarakat berbanding hanya menguatkuasakan undang-undang semata-mata kerana kesedaran akan datang dengan sendirinya jika masyarakat diberikan kefahaman yang jelas," katanya.

Sebelum ini, The Safety First Group iaitu kumpulan prokeselamatan jalan raya, menggesa kerajaan untuk menguatkuasakan had laju 70km/j untuk motosikal kapcai.

Selain itu, kumpulan tersebut turut meminta lebih banyak laluan khas motosikal dibina bagi mengurangkan kemalangan jalan raya membabitkan golongan itu.

Ogos lalu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian dilaporkan berkata, saranan untuk mengenakan peraturan had laju kepada penunggang motosikal kapcai masih belum boleh dilaksanakan memandangkan ia memerlukan pemerhatian yang teliti untuk satu tempoh yang panjang.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, cadangan itu memerlukan kajian lebih teliti tentang implikasi pelaksanaannya kerana ia melibatkan kira-kira 10 juta pemilik motosikal berdaftar di negara ini.

Selain melibatkan isu keselamatan, kerelevanan cadangan itu juga perlu dilihat daripada pelbagai sudut dan sejauh mana ia dapat dilaksanakan.

Sumber: Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"LPT ada 4 plaza tol terpaksa pengguna berhenti, sedangkan untuk ringankan beban pengguna…
Berita Domestik
Penganalisis dari Badan Pemikir Bait Al-Amanah, Karisma Putera Rahman bercakap kepada Free Malaysia…
Informasi
Menurutnya, selepas perincian dimuktamadkan, ia akan dibentangkan terlebih dahulu kepada Timbalan…