Cadangan had laju 70 km/j untuk kapcai mungkin tidak kesampaian

oleh Shahrim Tamrin|
~Pengurangan had laju untuk motosikal 'kapcai' bukan sesuatu yang mudah dilakukan
#Lorong kiri sahaja untuk 'kapcai' tidak mungkin berlaku tahun ini
#Idea lorong kiri untuk motosikal mungkin boleh dillakukan untuk waktu puncak sahaja
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

IBARAT Cengkaman Brek

Begitulah yang dapat dirumuskan setakat ini terhadap cadangan menurunkan had laju khas untuk motosikal di mana Kementerian Kerja Raya dilihat agak keberatan untuk melaksanakan pengurangan had laju kepada 70 km/j bagi penunggang kapcai di jalan raya utama dan lebuhraya seluruh negara.

Menteri Kerja Raya Baru Bian mengesahkan bahawa cadangan untuk ketetapan mengurangkan had laju khusus bagi pengguna kapcai di jalan persekutuan dan lebuhraya urban dan lebuhraya jarak jauh adalah sesuatu yang agak mustahil ketika ini. 

"Buat masa terdekat, had laju lebih rendah untuk penunggang motosikal adalah sesuatu yang tidak mungkin dilakukan,” kata Baru Bian di dalam temubual eksklusif.

Beliau berkata cadangan had kelajuan lebih rendah khusus untuk motosikal memerlukan penelitian yang lebih mendalam dan perbincangan yang lebih jauh lagi.

“Kementerian tidak bersedia untuk memberikan komitmen buat masa ini,” katanya. “Kita perlu membuat pendekatan teliti dan berdaya maju jika kita mahu letak kelajuan yang rendah untuk motosikal, seperti contoh, untuk disesuaikan dengan keadaan lalu lintas bercampur dan sibuk di lebuh raya serta jalan raya di sekitar bandar, pekan kecil dan juga di kawasan luar bandar.”

Baru menjelaskan bahawa sebagai kementerian yang bertanggungjawab menentukan serta menyelia had laju kebangsaan untuk sebarang jenis kenderaan, ia perlu menjalankan pemerhatian menyeluruh untuk tempoh yang panjang jika mahu menetapkan had laju yang baru.

Beliau memberi maklum balas berkaitan saranan dari kumpulan penyokong keselamatan jalan raya ‘Safety First’ yang mahukan langkah drastik dilakukan bagi mengurangkan kadar nahas jalan raya di kalangan ‘bikers’ dengan menentukan had kelajuan 70 km/j khusus untuk para penunggang kapcai.

Careta difahamkan bahawa kumpulan penyokong keselamatan jalan raya tersebut telah mengemukakan beberapa cadangan bersama Baru dan telah mengadakan perbincangan berasingan dengan para pegawai kanan Jabatan Kerja Raya dalam tempoh empat bulan kebelakangan ini.

Namun, terdapat kemungkinan bahawa dasar baharu mungkin boleh diperkenalkan melalui 'blok' waktu puncak untuk penunggang kapcai di mana mereka hanya dibenarkan menunggang di lorong kiri atau lorong paling perlahan di 'zon tumpuan' jalan persekutuan dan lebuh raya persekutuan di negara ini.

Baru Bian berkata idea ini boleh dilakukan ketika tempoh perjalanan pergi kerja di pagi hari dan pulang ke rumah dari jam 6 petang hingga 8 malam pada hari berkerja.

Berdasarkan statistik dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia, kematian dan kecederaan melibatkan penunggang motosikal dan pembonceng semasa berulang alik pada waktu puncak pagi dan petang berada di tahap yang membimbangkan semenjak lima tahun kebelakangan.

Saranan hanya lorong paling kiri untuk kapcai juga telah dibangkitkan oleh ‘Safety First’ semenjak lapan bulan lalu.

"Saya fikir kita boleh membuat beberapa langkah yang boleh dikawal dan dipantau pada waktu dan hari tertentu pada hari berkerja untuk tempoh lalu lintas amat sibuk agar mereka (penunggang) hanya menggunakan lorong paling kiri," kata Baru.

Sebagai pengenalan, katanya, penunggang motosikal mungkin akan diharuskan berada di lorong kiri di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) atau Lebuhraya KL-Seremban.

"Ini mungkin lebih baik. Saya fikir cadangan penunggang hanya menggunakan lorong kiri di jalan persekutuan untuk sepanjang masa adalah tidak sesuai buat masa ini," katanya.

Apabila ditanya sekiranya tumpuan lorong kiri hanya untuk kapcai boleh dilakukan menjelang akhir tahun ini, Baru menjawab: "Saya tidak fikir ia akan berlaku. Ini memerlukan lebih banyak interaksi dan kajian bersama pihak berkepentingan."

Awal tahun ini, Bernama melaporkan bahawa Jabatan Keselamatan Jalan Raya telah menyuarakan hasrat untuk mencontohi amalan di negara-negara maju yang menghadkan para penunggang motosikal, terutama yang menggunakan motosikal berkuasa rendah, untuk berada di lorong kiri untuk mengurangkan kecederaan dan kadar kematian.

Aktivis keselamatan jalan raya Tan Sri Lee Lam Thye juga bersetuju dengan cadangan itu.

Beliau telah menyatakan kebimbangan jika tiada apa yang dilakukan untuk membendung amalan kebiasaan penunggang menggunakan lorong tengah dan lorong laju, kadar kematian di kalangan penunggang motosikal akan terus meningkat.

Berita Berkenaan

Berita Global
Dengan harga jualan yang agak mahal, ia bukanlah sebuah motosikal untuk kebanyakan pengguna marhaen…
Berita Domestik
Warna yang dimaksudkan itu ialah Mat Charcoal Grey Metallic/Gold, Candy Scintillate Red, Force…
Berita Domestik
Pembeli dan peminat Y15ZR boleh mendapatkan model tersebut dalam warna kuning, perak, hijau matte…