Cadangan had kelajuan Autobahn tak masuk akal - Sebastian Vettel

oleh Mohamad Hanif|
Setelah sekian lama, isu untuk melaksanakan kembali sekatan had kelajuan di lebuh raya terkenal autobahn timbul kembali setelah terbentuknya kerajaan baharu di Jerman, baru-baru ini.

Isu ini turut mendapat perhatian daripada pemandu F1 Sebastian Vettel, dan dalam temubual bersama Auto Motor Sport, beliau menyifatkan cadangan sekatan had kelajuan adalah tidak masuk akal hanya semata-mata untuk mengurangkan emisi karbon dan menjadikan jalan raya Jerman itu lebih selamat.

"Ia bukanlah pendapat peribadi, akan tetapi isu ini perlu dilihat pada perspektif yang lebih besar. Pelaksanaan had kelajuan mampu mengurangkan sehingga dua juta tan emisi CO2. Dan ia mampu menjadikan jalan raya yang lebih selamat.

"Terdapat kemalangan yang berlaku di Jerman hanya disebabkan kita tidak mempunyai had kelajuan. Jadi, jika dengan langkah ini hanya mampu menyelamatkan nyawa seorang pengguna, jadi ia adalah tidak masuk akal bagi saya," jelasnya lagi.

Juara dunia F1 empat kali itu berpendapat, Jerman sendiri merupakan sebuah negara yang kuat, dan mampu menunjukkan contoh yang baik kepada negara-negara lain di seluruh dunia.
 

Sebastian Vettel


Namun begitu, Vettel juga mempunyai pandangan tersendiri terhadap pelaksanaan had kelajuan yang dikatakan mampu menyekat 'kebebasan' pemanduan.

Ujarnya, "saya tidaklah berasa tidak bebas ketika mengembara dan memandu di negara lain seperti Turki, AS atau Great Britain. Ia bukanlah persoalan tentang kebebasan, akan tetapi sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan. Sampai satu ketika, pelaksanaan had kelajuan akan dibuat - tidak kira sekarang atau dalam masa beberapa tahun akan datang.

"Saya tidak mempunyai masalah dengan hal ini. Sesiapa yang mahu memandu laju akan melakukannya di tempat yang selamat. Dalam hal ini, tempat tersebut boleh jadi sebuah litar lumba, di mana anda boleh menguji had keupayaan tanpa membahayakan nyawa orang lain.

Sistem lebuh raya autobahn di Jerman mempunyai beberapa seksyen yang tidak mempunyai sebarang had kelajuan, di mana lokasi-lokasi ini kebiasaannya mempunyai kurang aliran trafik, dan menyediakan lebih banyak ruang untuk pemandu melampiaskan kuasa kuda kenderaan mereka.

Hal ini menjadikan lebuh raya di Jerman salah satu tarikan pelancongan yang menarik, terutama bagi mereka yang mencintai kelajuan.

Sumber: Auto Motor Sport