Cabaran Honda bersendirian, dan bagaimana kepesatan teknologi memaksa Honda mengubah semangat juang asal Soichiro Honda

oleh Mohamad Hanif|
Tahun lalu, sebuah SUV semiautonomi Honda mencatatkan skor sebanyak 0.2 daripada 25 markah penuh untuk penilaian tahap keselamatan pejalan kaki, catatan yang paling teruk pernah dicatatkan di dalam sejarah pengujian kereta semi-autonomi.

Pada ketika itu, kejuruteraan Honda sendiri tidak mampu untuk mencapai piawaian yang ditentukan oleh kerajaan Jepun dalam memastikan keselamatan kenderaan semiautonomi sebelum dibenarkan beroperasi di atas jalan raya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Apa yang mereka lalukan?

Mereka mendapatkan bantuan daripada Bosch untuk teknologi tersebut, dan Honda Civic menjalani ujian yang serupa sebelum mencatatkan skor 24.4 daripada 25 markah penuh. 

 


Tindakan ini sebenarnya bertentangan dengan semangat yang diterapkan oleh pengasas Honda Soichiro Honda pada tahun 1960-an,

"Kami tidak akan bergantung kepada sesiapa."

Menurut Hideaki Tsuru, salah seorang pekerja R&D Honda yang telah bekerja selama 20 tahun sehingga 2016, apa yang Honda lalukan sememangnya merubah apa yang sepatutnya Honda elakkan selama ini.

"Produk yang unik merupakan sebahagian daripada jiwa Honda!" tegas beliau. 
 


Bagi kebanyakan masyarakat Jepun itu sendiri, Honda merupakan gambaran kepada originaliti dan semangat keyakinan tinggi yang merubah negara Matahari Terbit tersebut kepada sebuah lubuk industri pasca perang dunia kedua. 

Honda bukan sebuah syarikat yang mudah untuk diperlekehkan sejak dari itu, bahkan mereka telah membuktikannya dengan penghasilan enjin CVCC pada tahun 1972, jimat bahan api dan kurang pelepasan emisi. 

Ketua R&D bahagian enjin Honda ketika itu, Shizuo Yagi mendabik dada dengan menyatakan, "Kami (Honda) berjaya melakukannya!"

Namun begitu, berdiri sebagai sebuah syarikat yang bersendirian sejak dari awal, Honda terpaksa bersaing dengan Toyota yang lebih besar di dalam sudut kewangan bagi menghasilkan teknologi yang serupa. 

Sebagai contoh, bajet yang diperuntukkan bagi R&D Honda sahaja mencecah 5%, berbanding 3.5% yang dicatatkan oleh Toyota. 
 


Perbezaan itu amat ketara sebenarnya kerana syarikat besar seperti Toyota mempunyai kelebihan untuk menyerap kos penyelidikan yang tinggi di dalam penghasilan sesuatu teknologi, berbanding Honda. 

Toyota yang kini mempunyai pegangan di dalam syarikat Daihatsu, Subaru Corp dan Mazda Motor Corp membolehkan syarikat-syarikat tersebut bekerjasama untuk menghasilkan teknologi generasi baharu, pada masa yang sama mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung oleh Toyota. 

Pakatan yang disertai oleh rakan senegara di dalam Renault-Nissan-Mitsubishi kini menyasarkan penjualan kenderaan sebanyak 14 juta menjelang tahun 2022.

Realiti dunia semakin pantas seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin berkembang memaksa bukan sahaja Honda, bahkan syarikat pengeluar yang lain turut sama bergantung kepada syarikat-syarikat pembekal teknologi seperti Bosch, Continental dan Denso bagi mengurangkan kos R&D kenderaan elektrik dan pemanduan autonomi. 

 


Temubual bersama pegawai eksekutif Honda, Takahiro Hachigo menegaskan bahawa Honda akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mempunyai teknologi terbaik, baik Jepun, Amerika mahupun Eropah. 

Namun menurut beliau, Honda tidak pernah menunjukkan minat untuk bergabung dengan mana-mana syarikat pengeluar kenderaan. 

Honda sehingga kini mempunyai lebih daripada 200 ribu pekerja seluruh dunia, dan dalam keghairahan mengejar keuntungan mengatasi segala-galanya, strategi jangka pendek itu telah membunuh Honda secara diam-diam dan hasilnya tidaklah begitu membanggakan para peminat Honda disebabkan kualiti yang semakin menurun dan termasuklah jualan, kata bekas pegawai eksekutif Honda. 


 


Keadaan bertambah buruk dengan krisis kewangan global pada tahun 2008 dan banjir besar di Thailand pada tahun 2011 menjejaskan hampir keseluruhan operasi pembekalan alat ganti, sekaligus mencacatkan pendapatan Honda. 

Ketua eksekutif Honda pada ketika itu, Takanobu Ito mengharapkan rombakan besar-besaran dilakukan untuk mengelakkan Honda ketinggalan lebih jauh berbanding Toyota yang lebih besar skala produksi mereka. 

2012, Ito mahu Honda menggandakan jualan mencapai sasaran 6 juta unit kenderaan menjelang 2017 dengan satu kunci penting, kualiti setanding untuk pasaran Jepun dan Amerika, dan kos yang murah untuk pasaran China dan Jepun. 

Keghairahan mengejar sasaran jualan yang begitu besar dan usaha mengurangkan kos akhirnya menjadi mimpi ngeri buat Honda apabila Civic generasi kesembilan yang dilancarkan pada tahun 2011 dikritik akibat penggunaan bahan yang kurang berkualiti, pengendalian yang teruk dan bahagian dalaman yang murah. 

Lebih menyedihkan, Honda Fit yang turut berkongsi banyak panel dan komponen daripada Honda Civic terpaksa dipanggil balik lima kali berturut-turut di dalam tahun berikutnya selepas diperkenalkan di pasaran pada tahun 2013.

 


Hachigo mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2015 dengan satu visi, membawa Honda lari daripada prinsip asal dan menjadikannya satu syarikat yang "menggabungkan teknologi terbaik dari seluruh dunia di dalam satu kenderaan" berbanding syarikat solo yang membuat segala-galanya dari sifar.

Ia menjadi semakin jelas dengan pengumuman kerjasama yang dilakukan oleh Honda bersama Hitachi dalam menghasilkan motor elektrik dengan azam untuk menghasilan dua pertiga daripada kenderaan Honda terdiri daripada kereta elektrik menjelang 2023.

Bukan setakat itu, Honda juga telah mengumumkan kerjasama dengan syarikat China, Baidu Inc untuk teknologi pemetaan kenderaan autonomi, SenseTime Co. untuk perisian kamera dan SoftBank Corp untuk teknologi kecerdasan buatan yang mampu memberikan cadangan lagu berdasarkan mood pemandu. 

Perubahan dasar pegangan Honda menyaksikan jika sebelum ini ciri bantuan pemanduan yang ada pada Honda Elesys gagal untuk membezakan antara pejalan kaki dan objek pegun, kini ciri Honda Sensing sudah menjadi satu peralatan yang standard untuk kebanyakan model keluaran Honda. 
 


Cabaran berikut bagi Honda ialah untuk membangunkan kenderaan pandu sendiri menjelang 2020, selari dengan perancangan pengeluar lain seperti Nissan (2020) dan juga GM (2019). 

Menurut Yuji Yasui, jurutera Honda yang kini ditugaskan untuk merangka perisian bagi membolehkan kenderaan Honda dipandu sendiri tidak lama lagi menegaskan "kami di Honda tidak pernah berubah, apa yang kami ubah hanyalah ketidakupayaan Honda untuk melakukan kesemua kerja bersendirian!"
 


Artikel ini dialih bahasa daripada tulisan Sean McLain bertajuk Honda Took Pride in Doing Everything Itself. The Cost of Technology Made That Impossible.

Berita Berkenaan

Berita Global
Kemenangan pada tahun ini merupakan tahun kelima berturut-turut produk Honda memenangi anugerah Red…
Berita Global
  Ye Series juga menjadi jawapan kepada yang bertanya di mana EV Honda. Masih awal, belum…
Berita Global
  Nampaknya trend penurunan harga kenderaan elektrik (EV) bukan lagi terpencil. Semasa…