BYD Yangwang U8 Premium Edition, 1184 hp, jarak gerak 1000 km, boleh terapung atas air 30 minit!

oleh Mohamad Hanif|
Syarikat pengeluar kereta mewah China di bawah naungan BYD, Yangwang telah melancarkan SUV saiz penuh U8 Premium Edition untuk pasaran China.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

SUV dengan rekaan yang diinspirasikan daripada Land Rover Defender ini membawakan trenkuasa empat motor elektrik berkuasa 1,184 hp, di mana pecutan 0-100 km/j memakan masa 3.6 saat.

Selain itu, ia juga dipadankan dengan pek bateri yang menawarkan jarak gerak sejauh 1,000 km (data CLTC), serta menyokong keupayaan vehicle-to-load (V2L) dan pengecasan pantas DC 110 kW (SoC 30-80 peratus serendah 18 minit).
 

U8


Antara ciri menarik yang dimuatkan termasuklah fungsi berpusing seakan kereta kebal (tank turn), sistem penstabilan kenderaan sewaktu insiden tayar pecah, serta sistem suspensi yang boleh meninggikan kenderaan 150 mm.

Lebih menarik perhatian, U8 Premium Edition ini boleh kekal terapung sehingga 30 minit ketika berada dalam situasi ekstrem seperti banjir kilat atau meredah laluan off-road yang ditenggelami air.

Dari segi luaran, U8 ini membawakan rim bersaiz 20 atau 22 inci, kemasan arka roda sedikit agresif, pemegang pintu tertanam kemas, rekaan bumbung terapung diikuti tempat simpanan tayar berbentuk oktagon.
 

BYD


Sementara ruang kabin pula menempatkan dua skrin sebesar 23.6 inci (satu untuk setiap orang), skrin paparan head-up realiti terimbuh 70 inci, diikuti skrin tengah orientasi menegak 12.8 inci, tambahan dua skrin untuk penumpang belakang bersaiz 12.8 inci serta skrin paparan yang diintegrasikan pada tempat merehat tangan baris kedua.

U8 Premium Edition mendapat kemasan balutan kulit Nappa, trim kayu Sapele, tiga pengecasan peranti pintar tanpa wayar, bumbung suria, sistem audio 22 pembesar suara, fungsi urut '10-point matrix hot stone', serta peti sejuk yang mampu beroperasi selama 12 jam selepas operasi kenderaan dimatikan.
 

BYD


Ciri keselamatan U8 Premium Edition juga cukup panjang, terdiri daripada 38 unit penderia termasuklah tiga LiDAR, radar gelombang 5 mm, 14 penderia ultra-bunyi, dan 16 kamera.

Kesemua kelengkapan ini membolehkan model U8 Premium Edition menikmati fungsi Kawalan Jelajah Adaptif, Bantuan Parkir Automatik, Parkir Valet Automatik, serta fungsi Bantuan Pemanduan Lebuhraya dan Pemanduan Bandar yang bakal ditawarkan menerusi kemaskini over-the-air.

Harga untuk sebuah BYD Yangwang U8 Premium Edition bermula dari 1,098,000 yuan (RM705,049).