Satu perkara yang menaikkan kepercayaan jenama BYD ialah penawaran di peringkat global. Terbaru BYD melancarkan Dolphin di Eropah.
Jualan bermula beberapa bulan lagi dan penghantaran dijadual pada suku keempat 2023.
Dolphin adalah model sulung dalam siri lautan (Ocean series) dan yang pertama menggunakan konsep rekaan Ocean Aesthetics.
Tanpa perlu meneka, ikan lumba-lumba mempengaruhi rekaan Dolphin. Ikan yang pintar, suka bermain-main dan ramah.
Dolphin dibekalkan bateri 60.4 kilowatt-jam (kWj) dan versi 44.9 kWj menyusul pada suku pertama 2024.
Kelebihan BYD terletak pada Bateri BYD Blade Litium-ion Fosfat dengan penjimatan ruang, jarak pemanduan, selamat dan tahan lama.
Sama seperti ATTO 3, Dolphin dibangunkan dari e-Platform 3.0 untuk kecekapan sistem dan kepintaran kenderaan bersepadu.
Rangkaian kuasa elektrik 8 dalam 1 BYD menyepadukan Unit Kawalan Kenderaan, Sistem Pengurusan Bateri, Unit Pembahagian Kuasa dan Motor Pacuan.
Turut disepadukan Pengawal Motor, Transmisi, DC-DC dan Pengecas Dalam Kenderaan. Pakej itu memberikan kecekapan sistem pada kadar 89 peratus.
Dari segi prestasi, varian 60.4 kWj mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa tujuh saat sahaja. Jarak pemanduan sehingga 426 km (kombinasi WLTP).
Daya kilas 310Nm dan motor 150 kW (204PS) membantu pecutan maksimum sehingga 161 km/j.
Dari segi dimensi, Dolphin berukuran 4,290 mm panjang, 1,770 mm lebar, tinggi 1,570 mm dan jarak roda 2,700 mm. Ruang bagasi mempunyai kapasiti 345 liter.
Dolphin dilengkapi Amaran Pelanggaran Berdepan, Pembrekan Kecemasan Autonomi, Amaran Pelanggaran Belakang, Kawalan Jelajah Adaptif dan Kawalan Jelajah Pintar.
Turut dilengkapi Peringatan Lintasan Trafik Belakang dan Brek Lintasan Trafik Belakang, Pencegahan Penukaran Lorong dan Bantuan Kecemasan Pengekalan Lorong.
Spesifikasi BYD Dolphin
- Kelajuan maksimum: 150 km/j (Active), 161 km/j (Boost, Comfort and Design)
- Kuasa motor (kW): 70 (Active), 130 (Boost), 150 (Comfort dan Design)
- Jarak pemanduan (kombinasi WLTP): 339 km (Active), 310 km (Boost), 426 km (Comfort dan Design)
- Kapasiti (kWj): 44.9 (Active dan Boost), 60.4 (Comfort dan Design)
- Kuasa pengecasan: 60kW DC, 7kW AC (Active dan Boost), 88kW DC, 11kW AC (3 fasa) (Comfort dan Design)
- Tempoh pengecasan DC (30 - 80%, minit): 28 (Active dan Boost), 29 (Comfort dan Design)
- Heat Pump dan V2L: Standard
Senarai varian dan harga BYD Dolphin:
- Dolphin Active: Bateri 44.9 kWj dan motor 70 kW (95 ps) - £25,490 (RM151,032)
- Dolphin Boost: Bateri 44.9 kWj dan motor 130 kW (176 ps) - £26,490 (RM156,935)
- Dolphin Comfort: Bateri 60.4 kWj dan motor 150 kW (204 ps) - £29,490 (RM174,708)
- Dolphin Design: Bateri 60.4 kWj dan motor 150 kW (204 ps) - £30,990 (RM183,573)
Harga yang ditawarkan di China lebih rendah dan tidak boleh dibandingkan secara epal dengan epal kerana faktor polisi, pencukaian dan pelbagai lagi.
Walaupun begitu, senarai harga tersebut boleh dijadikan 'rujukan longgar' untuk pasaran tempatan kelak.
Rujukan lebih tepat ialah Atto 3 dengan saiz lebih besar dijual pada harga RM149,800 bagi varian 49.92 kWj dan motor 150 kW.
Penulis: Muhammad Md Tajudin