BYD Dolphin G DM-i didedahkan – Hatchback PHEV pertama BYD khas untuk pasaran Eropah

oleh Danial Yasin Suhaimi|
BYD kini melangkah lebih serius ke pasaran Eropah dengan memperkenalkan model baharu Dolphin G DM-i, iaitu kereta pertama syarikat China itu yang dibangunkan khusus untuk pengguna Eropah.

Lebih menarik, hatchback kompak itu bakal mencabar model petrol, hibrid dan EV popular di segmen B menerusi penggunaan sistem plug-in hybrid (PHEV) yang agak unik.

Dijadualkan memasuki pasaran UK sekitar musim luruh tahun ini dengan harga permulaan dianggarkan bawah £20,000 (RM106,494).

Model tersebut bakal bersaing dengan nama besar seperti Renault Clio, Volkswagen Polo dan Toyota Yaris, namun berbeza dengan kebanyakan pesaing yang menggunakan sistem mild-hybrid atau full-hybrid biasa, Dolphin G tampil dengan trenkuasa plug-in hybrid penuh.

 

2

 

Walaupun BYD masih belum mendedahkan spesifikasi lengkap sistem Super Hybrid tersebut, ia dijangka berkait rapat dengan sistem yang digunakan pada SUV kompak Atto 2 DM-i. 

Sistem hibrid itu menggabungkan enjin petrol 1.5 liter yang bertindak sebagai generator bersama motor elektrik yang memacu roda hadapan.

BYD turut mendakwa Dolphin G mampu menawarkan jarak pemanduan gabungan petrol dan elektrik sekitar 1,000 km, sekali gus menjadikannya antara hatchback PHEV paling efisien dalam segmennya. 

 

3

 

Bagaimanapun maklumat penuh termasuk prestasi dan kapasiti bateri masih belum didedahkan dan akan diumumkan semasa pelancaran rasmi pada bulan Jun.

Apa yang menjadikan model itu lebih penting kepada BYD ialah hakikat bahawa Dolphin G DM-i merupakan model pertama yang benar-benar dibangunkan khusus untuk pasaran Eropah, bukannya sekadar model China yang diubah suai untuk eksport. 

Ia juga berkemungkinan besar akan dipasang di kilang baharu BYD di Hungary.

Naib Presiden Eksekutif BYD, Stella Li berkata "segmen B di Eropah merupakan antara segmen paling penting di rantau itu, dan Dolphin G dibangunkan untuk “mentakrif semula jangkaan pelanggan terhadap kereta kompak dalam era elektrifikasi.”

 

4

 

Dolphin G juga menjadi permulaan kepada barisan model segmen B dan C baharu yang sedang dibangunkan BYD khas untuk pasaran Eropah. 

Malah sebelum ini, Stella Li pernah menyatakan matlamat jangka panjang syarikat adalah untuk memastikan pengguna melihat BYD sebagai “jenama Eropah”, walaupun berasal dari China.

Langkah itu jelas menunjukkan BYD bukan lagi sekadar mahu menjadi pengeluar EV murah, tetapi sedang membina identiti global yang lebih serius, khususnya di Eropah.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Beliau membuat kenyataan tersebut ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BYD 2025 yang berlangsung…
Berita Global
Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden Eksekutif BYD, Li Ke, yang menyatakan bahawa perbincangan…
Berita Domestik
Terletak di Jalan Macalister, lokasi itu menampilkan konsep unik apabila sebuah bangunan bersejarah…