Bumi Afghanistan miliki simpanan lithium terbesar dunia - US$1 trillion

oleh HEZERI SAMSURI|
Kemajuan kenderaan elektrik (EV) memang bergantung kepada teknologi bateri dan buat masa sekarang, hampir kesemua komputer riba, telefon pintar, pelbagai alatan elektronik dan EV menggunakan bateri Lithium-Ion.

Ini menjadikan bahan galian Lithium antara galian yang paling berharga kerana permintaan yang sangat tinggi dan menurut CNN, Afghanistan, antara negara termiskin dunia, mempunyai hasil galian yang bernilai lebih dari US$1 trillion.

Antara galian yang ditemui oleh pegawai ketenteraan US dan pakar geologi di Afghanistan ialah besi, tembaga, emas dan galian nadir bumi termasuklah deposit lithium terbesar di dunia. Malah, ia mempunyai jumlah lithium yang jauh lebih besar dari Bolivia yang mempunyai simpanan lithium terbesar dunia.

Rod Schoonover, saintis dan pakar keselamatan yang menjadi pengasas kepada Kumpuluan Ecological Futures berkata Afghanistan adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber mineral tradisional dan juga logam-logam galian untuk dunia pembangunan ekonomi bagi abad ke-21.

 

 

Sebelum ini, masalah kekurangan prasarana, kemarau yang teruk dan cabaran keselamatan menjadikan galian-galian itu tidak dapat dilombong. 

Perubahan kuasa kepada pihak Taliban mungkin akan menukar senario itu kerana negara-negara seperti China, Pakistan dan India masih berminat untuk mendapatkan hasil bumi negara tersebut.

Permintaan untuk logam-logam seperti lithium dan kobalt, termasuk juga logal neodynium semakin meningkat kerana dunia kini berubah kepada EV dan juga teknologi yang lebih mesra alam untuk mengurangkan penghasilan karbon.

China, Kongo dan Australia menghasilkan 75 peratus dari bekalan lithium, kobalt dan nadir bumi yang lain.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), sebuah kereta EV memerlukan enam kali ganda jumlah logam galian berbanding dengan kereta berenjin biasa kerana lithium, nikel dan kobalt sangat penting untuk bateri.

* Laporan dari CNN