Bukan satu tetapi empat dron ‘ditembak jatuh’ di Dataran Merdeka

oleh SALINA JALIL|
gambar dari Utusan Malaysia
Padah ingkar arahan larangan terbang, pemilik empat dron yang ‘ditembak jatuh’ di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam bakal berdepan hukuman berat.


Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) membe­ritahu, jika didapati bersalah, pemilik peranti itu boleh didenda di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 yang membawa denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

 

Semalam, Unit Dron Pasukan Gerakan Udara Polis Bukit Aman ‘menembak jatuh’ empat dron yang terbang haram ketika perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka.

 

Seramai empat anggota unit ini ditempatkan di kawasan ramai penonton termasuk kenamaan bagi memantau rapi sebarang pergerakan pesawat tanpa pemandu itu yang berlegar di udara.

 

Sejurus dron tersebut dikenal pasti tiada permit penerbangan oleh CAAM, pasukan itu segera menurunkan pesawat berkenaan dengan bertindak mematikan frekuensi kawalan jarak jauh.

 

Langkah pengharaman dron di kawasan itu adalah bagi mengelak sebarang insiden nahas tidak diingini yang melibatkan keselamatan awam termasuk kemungkinan jatuh terhempas dan terkena penonton.

 

gambar dari utusanTV

 

Ia juga demi menghindari risiko kemalangan jika ia bertembung dengan sejumlah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia yang melakukan formasi terbang lintas rendah di sekitar ibu negara.

 

Tambahan pula, Kompleks Bukit Aman yang menempatkan ibu pejabat polis negara ini berhampiran kawasan dataran itu memang merupakan zon larangan terbang dron sepanjang masa.

 

“Diingatkan bahawa semua aktiviti pengendalian dron adalah turut tertakluk Akta Penerbangan Awam 1969 serta Peraturan Pe­nerbangan Awam Malaysia 2016,” kata kenyataan CAAM itu.

 

Sementara itu, pihak polis menerusi kenyataan di ibu negara semalam mengesahkan bahawa pemilik dron tersebut akan disiasat dan tindakan lanjut boleh dikenakan dalam masa terdekat.

 

Setakat ini, agensi itu telah pun mewartakan lebih 2,000 kawasan di seluruh negara sebagai zon la­rangan terbang dron terutamanya di lokasi-lokasi sensitif seperti Istana Negara.

 

Turut tersenarai ialah sekitar pangkalan tentera, markas polis, lapangan terbang, bangunan penting kerajaan, struktur pencawang elektrik dan menara pemancar telekomunikasi.

 

CAAM turut bertindak proaktif menjejaki pemilik dron tanpa permit yang memuat naik rakaman video atau foto menerusi wadah media sosial tempatan selain aduan dari orang awam sendiri.


Ia ekoran banyak kes kece­deraan serius dilaporkan disebabkan dron terjatuh kerana masalah teknikal atau kegagalan pengawalan di samping nyaris mengakibatkan rempuhan dan kerosakan ke atas pesawat lain.

 

 

– UTUSAN