Bukan EV, SUV flagship baharu Porsche bakal guna enjin V8 - Laporan

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Porsche dilaporkan mengubah haluan untuk SUV flagship baharunya yang dikenali dengan kod nama K1, jika sebelum ini model tersebut dirancang sebagai EV sepenuhnya, perkembangan terbaharu menunjukkan ia bakal ditawarkan dengan pilihan enjin V6 dan V8.

Langkah tersebut mencerminkan pendekatan lebih realistik Porsche terhadap pasaran semasa, terutamanya apabila permintaan terhadap kenderaan elektrik menunjukkan kadar pertumbuhan yang lebih perlahan, khususnya di Amerika Syarikat.

Menurut laporan Autocar, K1 tidak lagi akan menggunakan platform elektrik Scalable Systems Platform seperti yang dirancang sebelum ini. 

Sebaliknya, ia bakal dibangunkan di atas seni bina Premium Platform Combustion (PPC) milik Volkswagen Group, platform sama yang akan digunakan oleh Audi Q9, menjadikan kedua-dua model ini berkongsi asas yang sama.

Dengan penggunaan PPC, Porsche mempunyai fleksibiliti untuk menawarkan konfigurasi lima dan tujuh tempat duduk, selain rangkaian trenkuasa petrol dan plug-in hybrid.

 

2

 

K1 dijangka menggunakan enjin 3.0 liter V6 dan 4.0 liter V8 sedia ada Porsche, dari segi kuasa, angka yang ditawarkan berkemungkinan menyerupai barisan Porsche Cayenne, iaitu sekitar 350 HP hingga 730 HP bergantung kepada varian.

Keputusan itu selari dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Porsche, Oliver Blume, yang sebelum ini menyebut bahawa penyesuaian strategi K1 dibuat berdasarkan “realiti pasaran baharu dan perubahan permintaan pelanggan”. 

Walaupun begitu, versi elektrik sepenuhnya masih belum diketepikan sepenuhnya untuk masa hadapan.

SUV flagship itu dijangka dilancarkan kira-kira setahun selepas Audi memperkenalkan Q9, yang dianggarkan membuat kemunculan sekitar penghujung 2026. 

Pengeluaran pula akan dilakukan di kilang Volkswagen Group di Bratislava, Slovakia, bersama Q9 serta Cayenne versi elektrik.

Perubahan tersebut menunjukkan Porsche mengambil pendekatan lebih fleksibel dalam peralihan elektrifikasi, tidak menolak EV sepenuhnya, tetapi pada masa sama masih memberi ruang kepada enjin pembakaran dalaman yang terus mendapat permintaan dalam segmen SUV mewah berprestasi tinggi.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam perkembangan terbaru, model ikonik Porsche 911 GT3 generasi akan datang dilaporkan berpotensi…
Berita Global
Langkah tersebut menandakan perubahan besar dalam strategi Porsche, kurang lima tahun selepas…
Berita Global
Teknologi tersebut didedahkan melalui paten yang difailkan pada Ogos 2024 dengan German Patent and…