BUKA SEMPADAN: PDRM TAMBAH ANGGOTA TERMASUK UNIT BERKUDA

oleh Hamimah Hamid|
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menambahkan anggota bagi memperketatkan kawalan sempadan negeri susulan pengumuman kebenaran pembukaan sempadan negara pada April ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya sudah bersiap siaga termasuk menggerakkan Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ke sempadan Kedah dan Perlis serta Kelantan bulan hadapan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

“Kita memang sudah merancang bagi penambahan anggota untuk ditempatkan di setiap sempadan negara termasuk di laut.

“Namun setakat ini jumlah penambahan anggota berkenaan masih belum lagi ditentukan. Namun yang pastinya dengan pembukaan sempadan ini memang kita akan lebih berjaga-jaga dan kita sudah bersedia untuk mengawal keselamatan sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada program Charity Ride Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Ipoh Super Bike Club (IPBC) di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di Ipoh.

bersama ketua polis perak dan pengarah kdnka bukit aman

Program turut dihadiri Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Menurut Datuk Hazani, ekoran pengumuman kebenaran pembukaan sempadan negara juga, pemantauan dan kawalan prosedur operasi standard (SOP) akan dilakukan seperti mana sebelum ini.

“Kita akan membuat pemantauan SOP, rakyat lain masuk ke negara tetap kita akan membuat pemantauan SOP, dan kena ikut lah,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai  charity ride jelas Datuk Hazani, program itu bertujuan  menyampaikan sumbangan kepada anggota dan pegawai PDRM yang memerlukan sejajar dengan slogan Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada. 

Katanya, sepanjang program tersebut penunggang-penunggang motosikal berkuasa tinggi akan singgah di semua kontinjen di Semenanjung Malaysia untuk menyalurkan sumbangan kepada anggota dan pegawai PDRM terpilih. 

“Program ini sudah diadakan sejak lima tahun lalu tetapi dihentikan selama dua tahun akibat wabak Covid-19 dan tahun ini ia dimulakan semula. InsyaALLAH saya akan panjangkan program ini ke Sabah dan Sarawak bersama bikers-bikers dan NGO yang sudi bekerjasama dengan PDRM. 

“Mungkin di Sabah dan Sarawak kita akan adakan bersempena Hari Malaysia memandangkan sambutan itu akan diadakan di Sarawak. Kita akan ride dari Kota Kinabalu terus ke Kuching dan sambut Hari Malaysia di sana,” ujarnya. 

penyampaian sumbangan kepada anggota pdrm yg memerlukan

Program Charity Ride PDRM bermula sejak 7 Mac lalu di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dan meneruskan perjalanan ke (IPK) Melaka, IPK Johor, IPK Pahang, IPK Terengganu, IPK Kelantan, IPK Kedah, IPK Pulau Pinang, IPK Perak sebelum melabuhkan tirai di IPK Selangor pada 12 Mac.

Setakat ini seramai 90 orang menerima sumbangan sepanjang program berlangsung.