Terbaharu, pengeluar hypercar dari Perancis itu memperkenalkan Bugatti W16 Mistral Blanc Éternel, sebuah model one-off yang dibangunkan menerusi program personalisasi Bugatti Sur Mesure dengan sentuhan unik menggunakan porselin sebenar.
Model eksklusif itu merupakan hasil kerjasama kedua antara Bugatti dan pengeluar porselin mewah Jerman, Königliche Porzellan-Manufaktur (KPM) Berlin, di mana sebelum ini mereka telah menghasilkan sebuah Bugatti Veyron Grand Sport istimewa pada tahun 2010.
Lebih daripada sekadar sebuah Mistral yang unik, Blanc Éternel turut menjadi penghormatan kepada enjin legenda quad-turbo W16 8.0 liter, yang bakal menamatkan sejarah panjang penggunaannya dalam barisan model Bugatti.
Keistimewaan utama W16 Mistral Blanc Éternel terletak pada penggunaan porselin buatan tangan yang diaplikasikan pada beberapa komponen utama kenderaan.
Di bahagian luaran, kemasan porselin menghiasi logo EB, penutup tangki bahan api serta panel kemasan pada ruang enjin.
Sementara itu, ruang kabin menerima sentuhan yang lebih mewah dengan penggunaan porselin pada tombol gear, penutup pembesar suara dan perehat tangan, menjadikan setiap bahagian tampil eksklusif serta berbeza daripada mana-mana Bugatti lain.
Menurut Bugatti, setiap komponen porselin dihasilkan secara manual oleh artisan KPM Berlin, sekali gus menjadikan proses pembinaannya lebih rumit dan memerlukan tahap ketelitian yang sangat tinggi.
Selain penggunaan porselin, antara elemen paling menarik pada Blanc Éternel ialah warna badan putih yang dipadankan dengan garisan hitam halus yang mengikut setiap lekuk badan kereta.
Rekaan itu memberikan ilusi seolah-olah keseluruhan kereta dilukis menggunakan pen dakwat, sekali pandang menyerupai gaya visual dalam filem animasi atau ilustrasi tangan.
Tema tersebut turut diteruskan ke bahagian dalaman, dengan garisan hitam yang selari dengan rekaan luaran bagi menghasilkan identiti yang konsisten di seluruh kenderaan.
Bugatti W16 Mistral bukan sekadar sebuah roadster eksklusif, malah ia merupakan model terakhir yang menggunakan enjin quad-turbocharged W16 8.0 liter, antara enjin paling ikonik dalam sejarah automotif moden.
Enjin tersebut menjadi nadi kepada pelbagai model legenda seperti Veyron, Chiron dan kini Mistral, sebelum Bugatti beralih kepada era baharu.
Penggantinya ialah Bugatti Tourbillon, yang menggunakan enjin V16 8.3 liter NA dibangunkan bersama Cosworth, dipadankan dengan tiga motor elektrik dalam sistem hibrid berprestasi tinggi.
Peralihan itu menandakan berakhirnya era enjin W16 selepas hampir dua dekad menjadi simbol kuasa dan kejuruteraan luar biasa Bugatti.
Sebagai model one-off, Bugatti W16 Mistral Blanc Éternel hanya dibina dalam satu unit sahaja, menjadikannya antara koleksi paling eksklusif pernah dihasilkan menerusi program Sur Mesure.