Bugatti Type 35, dilancar pada 1924, hadir dengan ciptaan revolusi!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Bugatti Type 35
Bugatti Type 35
Untuk menghargai Bugatti tidak cukup dengan mengambil tahu tentang sesaran dan kuasa enjin serta kelajuan menggila model era baharu.

Seseorang perlu mengetahui sejarah Bugatti dan dari situ timbulnya penghargaan dan kekaguman terhadap jenama ini serta sekumpulan individu di sebaliknya.

Di antara model yang terkenal dan berjasa besar ialah Bugatti Type 35 yang telah menempa lebih 2,500 kemenangan perlumbaan.

Untuk memahami Type 35 pula, seseorang perlu memahami penciptanya iaitu Ettore Arco Isidoro Bugatti.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Bugatti Type 35

 

Sewaktu dilancar pada 1924, Type 35 hadir dengan pelbagai inovasi teknikal yang telah mengangkat perlumbaan kereta ke peringkat lebih tinggi.

Type 35 melawan arah atau tidak terikat dengan kebiasaan dan halangan pada waktu itu dan Ettore Bugatti memiliki pemikiran tersebut.

Beliau sendiri datang dari keluarga yang dipengaruhi seni, rekaan dan kreativiti selama beratus tahun. 

Beliau mempunyai banyak minat dan pelbagai. Pengetahuannya juga meluas.

 

Bugatti Type 35

 

Walaupun memiliki banyak projek yang berjaya sebelum itu, Ettore Bugatti bukan seorang jurutera terlatih!

Untuk Type 35, kekurangan latihan formal adalah satu kelebihan dan bukan halangan.

Sekiranya Bugatti mengikut kelas kejuruteraan automatif seperti biasa, beliau mungkin tidak melakukan begitu banyak inovasi pada Type 35.

Satu lagi ciri yang mungkin tidak dicapai ialah bagaimana beliau berjaya menyatukan rekaan cantik dengan inovasi teknikal pada Type 35.

 

Bugatti Type 35

 

Apakah inovasi yang dibuat? Pada masa kereta lain tinggi di atas jalan, badan Type 35 rendah dan langsing.

Kereta lain menggunakan rim lidi, Type 35 dipasang rim aloi tuang bagi mengurangkan berat tidak berpegas.

Brek gelendong juga berbeza dan Type 35 terus melawan arus dengan suspensi disimpan di dalam badan aluminium aloi berbanding di luar pada kereta lain.

Satu lagi ciptaan menarik ialah konsep aerodinamik yang ditekankan pada Type 35.

 

Bugatti Type 35

 

Pada 1924, Type 35 dipasang enjin 2.0 liter lapan silinder sebaris, 24 injap yang kemudiannya dibesarkan kepada 2.3 liter dan menggunakan pengecas lampau.

Aci engkol aluminium dibantu dua galas pengguling (roller bearing) dan tiga galas bebola.

Pakej tersebut membolehkan enjin diligat sehingga 6,000 rpm dan menghasilkan 90 ps dan satu angka hebat pada masa itu.

Satu lagi perkara yang difahami dan dipegang Ettore Bugatti ialah prestasi tidak semestinya dijana oleh penambahan kuasa kuda tetapi juga pengurangan berat.

 

Bugatti Type 35

 

Keutamaan beliau untuk setiap perkakasan dibuat seringan mungkin dan tanpa menjejaskan kegunaan dan ketahanan menyumbang kepada sebuah kereta dengan berat 750 kilogram.

Di antara kaedah yang digunakan ialah membangunkan gandar depan baharu yang berronga dengan bahagian hujung tertutup.

Satu lagi yang melawan arus ialah gandar belakang yang tidak lurus tetapi melengkung pada bahagian tengah dan menaik pada hujung untuk disambung kepada hab roda.

Inovasi tersebut membantu menghasilkan sebuah kereta yang rendah dan ringan.

 

Bugatti Type 35

 

Bersama gabungan sistem stereng yang jitu dan casis ringan dengan enjin sebagai beban-tegasan, Type 35 beraksi lincah dengan tindak balas dan keseronokan pemanduan luar biasa.

Brek gelendong dengan keseimbangan yang baik dan berkabel dan tangki petrol bertekanan bagi mengoptimumkan aliran bahan bakar merupakan satu lagi hasil Ettore Bugatti.

Inovasi tersebut membolehkan pemandu menikmati dan memanfaatkan setiap hamburan prestasi Type 35 untuk diterjemah di atas jalan dan juga litar lumba.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Bugatti Type 35