Bugatti Type 32 ‘Tank', bentuk unik, pencetus kejayaan Bugatti di litar!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Bugatti Type 32 ‘Tank'
Bugatti Type 32 ‘Tank'
Bugatti bukan setakat model hebat seperti Veyron, Chiron atau Bolide. Di sebalik jenama Bugatti terkandung sejarah hebat dan citarasa pengasasnya Ettore Bugatti.

Dengan penghormatan, kebebasan dan sumber, Kumpulan Volkswagen adalah firma yang tepat dalam menjaga Bugatti.

Di dalam kehebatan hari ini, satu aspek yang belum ditonjolkan atau diulang ialah di litar lumba.

Untuk mengekalkan prestij, elok Bugatti bersaing dengan kelompok jenama yang setara sahaja.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
BUGATTI Type 32 Tank

 

Walaupun tidak berlumba, warisan Bugatti ditonjolkan melalui model dengan nama pelumba seperti Pierre Veyron, Louis Chiron dan Albert Divo.

Bolide pula bermaksud kereta lumba di dalam bahasa Perancis. Dari pilihan nama tersebut boleh dilihat warisan perlumbaan yang menebal di dalam produk moden Bugatti.

Satu daripada hero Bugatti ialah Type 32 'Tank' yang kini menjangkau usia 100 tahun selepas bersaing di dalam Grand Prix Perancis pada 2 Julai 1923.

Perlumbaan itu disaksikan 300,000 penonton dan Type 32 yang direka Ettore Bugatti tampil menonjol dan menarik perhatian ramai.

 

BUGATTI Type 32 Tank

 

Type 32 menggunakan bentuk garis arus (stream line) dan panggilan Tank bukan sahaja dari bentuk tetapi juga rivet dan bolt pada badan kereta.

Badan Type 32 dipengaruhi bentuk sayap kapal terbang dan terjemahan kepada pegangan Ettore Bugatti.

Beliau percaya aerodinamik termaju memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi kereta lumba.

Satu lagi pakej keunikan Type 32 ialah bentuk reraut (fairing), jarak roda pendek dan trek roda singkat. Dulu pelik sekarang pun pelik!

 

BUGATTI Type 32 Tank

 

Menggerakkan Type 32 ialah enjin 2.0 liter 8 silinder yang menghasilkan sekitar 90 ps.

Banyak lagi inovasi pada Type 32 seperti casis anduh bawah (rangka badan rendah daripada gandar/underslung chassis) dan brek depan hidraulik. 

Enjin 2.0 liter dipadan dengan transmisi transgandar tiga kelajuan dan mengundur (three-speed and reverse transaxle transmission).

Secara keseluruhannya, lima unit Type 32 dikeluarkan termasuk sebuah prototaip dan empat lagi bersaing di dalam GP Perancis.

 

BUGATTI Type 32 Tank

 

Perlumbaan di bandar Tours itu merangkumi 35 pusingan dengan jarak 22.8 kilometer di jalan raya awam dan jarak keseluruhan hampir 800 kilometer.

Daripada empat buah Type 32, unit yang dipandu pelumba Perancis, Ernest Friderich berjaya menduduki tempat ketiga. 

Beliau menamatkan perlumbaan dalam masa 7 jam dan 22.4 saat dengan kelajuan purata 112 km/j. GP Perancis merupakan medan pertama dan terakhir Type 32.

Walaupun singkat, Type 32 memberi banyak input kepada Bugatti terutama sekali kecekapan aerodinamik.

 

BUGATTI Type 32 Tank

 

Ciri tersebut diserlahkan pada kereta lumba Bugatti seterusnya seperti sebuah lagi Tank (Type 57G) dengan badan garis arus dan tertutup.

Type 57G Tank mendominasi perlumbaan ketahanan pada era 30-an dengan memenangi GP Perancis 1936 dan Le Mans pada 1937.

Kejayaan itu membuktikan pegangan Ettore Bugatti memang betul. Dengan usia seratus tahun, Type 32 disimpan di Musée National de l’Automobile di Mulhouse, Perancis.

Type 32 masih lagi beraksi di beberapa perlumbaan terpilih.

Penulis: Muhammad Md Tajudin