Terbaharu, anda kini boleh mendapatkan supercar terpakai di bawah program yang dilancarkan oleh Bugatti, namun dengan pilihan supercar Chiron atau Veyron sahaja.

Biarpun berstatus kereta terpakai (atau nama sedapnya pra-milik), Bugatti tetap menjanjikan kualiti yang tinggi dan manfaat perlindungan jaminan yang membolehkan pemilikan supercar lebih 'mampu milik' tanpa perlu risau akan kos-kos berbangkit.
Untuk model Chiron, ia hadir dengan jaminan menyeluruh yang hampir sama seperti yang ditawarkan pada model baharu, merangkumi alat ganti dan kos buruh untuk isu-isu mekanikal, elektrik, karat dan juga kerja-kerja cat.

Untuk model Veyron yang sudah berusia, jaminan tersebut hanya merangkumi komponen elektrik dan mekanikal sahaja, termasuk kos alat ganti dan kos buruh.
Selain daripada itu, jaminan terhad satu tahun ini juga terpakai untuk satu dunia dan ia boleh digunakan di mana jua tanpa mengira di mana anda berada.

Yang pasti, hanya pusat servis yang diiktiraf sahaja dibenarkan untuk melakukan servis terhadap model pra-milik Chiron dan Veyron, pakej servis untuk tahun pertama pemilikan, serta jaminan penggunaan alat ganti tulen sahaja yang akan digunakan.
Setiap alat ganti pula didatangkan dengan jaminan selama dua tahun.