
Sebuah Bugatti dilayangkan lapan lapisan cat dan melibatkan kerja-kerja tangan paling minimum 600 jam!
Sebelum lapisan warna pertama, jernih (clear) atau primer dilayangkan, setiap panel kereta akan diperiksa dengan teliti sekiranya terdapat lubang halus.
Kenapa? Supaya tidak menjejaskan kemasan cat. Hanya mereka yang mempunyai mata yang tajam dan sentuhan tangan sensitif boleh melakukan kerja sebegitu.

Selepas pemeriksaan, karyawan Bugatti akan melayangkan lapisan primer pertama dan kemudian digosok untuk pemukaan yang rata dan sekata sebelum lapisan primer kedua.
Hasil daripada kerja-kerja yang teliti, lapisan cat itu bebas daripada alunan, berombak atau lubang.
Kerja sebegitu masih jauh dari selesai dan belum boleh dilayangkan lapisan warna pertama. Proses seterusnya ialah lapisan jernih dan gosokan berulang kali.
Kesemua proses persediaan tersebut menghasilkan kemasan akhir yang cantik.

Karyawan Bugatti juga menganalisa setiap panel secara berasingan untuk sebarang perbezaan warna.
Dengan pengalaman berpuluh tahun dan pandangan mata yang tajam, karyawan Bugatti dapat mengesan walaupun terdapat perbezaan warna yang kecil.
Apa tindakan seterusnya jika menemui perbezaan? Cat semula!
Untuk sebuah kereta yang mempunyai dua warna berbeza dan komponen gentian karbon ianya bukan mudah.

Konsisten adalah kunci utama dan hanya dengan bakat dan pengalaman yang dimiliki para karyawan inilah standard yang ditetapkan dapat dicapai.
Kerja masih belum selesai dan tugas penggilapan memakan masa empat hari untuk kilatan yang sempurna.
Dah selesai? Belum juga tapi hampir.
Kerja cat akan diperiksa di bawah lampu putih yang terang di bawah terowong lampu Bugatti selama sepuluh jam.

Pemeriksaan itu dilakukan dengan tangan dan mata bagi mengenalpasti kecacatan.
Secara keseluruhan, proses yang begitu teliti ini mengambil masa 600 hingga 700 jam atau bersamaan seorang individu yang bekerja 24 jam sehari dalam tempoh hampir sebulan.
Hasilnya? Sebuah Bugatti atau pun objek kejuruteraan dalam bentuk seni.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
