Dari situ lahir Chiron Super Sport ‘57 One of One’ dan kisah di sebaliknya memang menarik.
Pada 2003, pelanggan itu yang juga peminat kereta pertama kali melihat Type 57 SC Atlantic di Muzium Automotif Mullin di Oxnard, Amerika Syarikat dan terus jatuh cinta.
Impian untuk memiliki Bugatti sendiri tercapai selepas dua dekad apabila suami beliau yang juga pemilik Bugatti memberi kejutan sempena hari lahir yang ke-70.
Wanita itu menerima jemputan peribadi dari Bugatti untuk berkunjung ke Molsheim, Perancis bagi memilih spesifikasi Chiron Super Sport.
Beliau disambut Ketua Pereka Sur Mesure Bugatti, Jascha Straub dan semasa lawatan kenangan dan ilham terus tercetus apabila model skala Type 57 SC berada di depan mata.
Jascha Straub sendiri sudah lama mahu menterjemahkan semula model ikonik tersebut.
Untuk mendapatkan warna yang sama, Jascha Straub berkunjung ke Muzium Guggenheim di Bilbao, Sepanyol iaitu lokasi unit asal Type 57 SC Atlantic dipamerkan.
Menggunakan contoh warna yang dihasilkan sendiri Bugatti, beliau meneliti warna kereta di bawah pelbagai keadaan cahaya.
Satu ciri yang membentuk Bugatti dan Type 57 SC Atlantic ialah jeriji bentuk ladam dan tergantung di antara dua lengkungan roda.
Kakitangan Sur Mesure bekerjasama dengan jurutera untuk memberi penghormatan kepada model asal dan kekal dengan falsafah Form Follows Performance dan keperluan kejuruteraan.
Setiap liang, garisan dan bukaan Chiron Super Sport mengambil kira keperluan penyejukan ekstrem dan aerodinamik kereta dengan kelajuan 440 kilometer sejam ini.
Hasil akhir boleh dilihat dengan jelas dan menonjol di depan.
Warna biru dan jeriji sepadan menampakkan persamaan di antara kedua-dua model dan bahagian bawah sayap belakang terpampang lakaran badan dan tulisan ‘57’ dan ‘One of One.
Lakaran badan itu dilukis dengan tangan. Rim lima bilah Super Sport dibuat dalam kilatan krom dan biru yang sama seperti asal.
Jika digunakan rim dulang seperti Type 57 SC Atlantic pasti lebih seragam namun penulis percaya ada alasan kukuh seperti penyejukan dan aerodinamik di sebaliknya.
Pada bahagian dalam, pelanggan memilih kulit Gaucho dan pada panel pintu terpampang lakaran Type 57 SC Atlantic warna Lightning Blue yang dijahit dengan tangan.
Logo ‘57 One of One' boleh dilihat pada konsol tengah dan lautan warna coklat yang membangkitkan aura klasik, mewah dan tak lapuk dek zaman.
Impian dan kenangan dua dekad akhirnya menjadi kenyataan dan sebuah lagi objek seni berjaya dilahirkan.
Penulis: Muhammad Md Tajudin